Pelan Pemulihan Negara tumpu keselamatan rakyat, bukti demokrasi subur

Penganalisis politik melihat langkah Pelan Pemulihan Negara yang dibentang Putrajaya menumpukan aspek keselamatan rakyat berbanding survival politik semata-mata dan usaha untuk membuka sidang Parlimen sekitar September-Oktober memperlihatkan amalan demokrasi di Malaysia masih subur.

Menurut penganalisis politik dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Salawati Mat Basir, langkah mengadakan sidang Parlimen selepas keadaan kembali selamat adalah isyarat jelas kerajaan Perikatan Nasional (PN) sentiasa mendukung konsep demokrasi dan pada masa sama memastikan kepentingan rakyat menjadi keutamaan bukan politik semata-mata.

“Baguslah (buka Parlimen), mungkin kerajaan berpendapat separuh daripada populasi kita sudah dapat dos kedua vaksin.

“Jadi keadaan ketika itu pun telah selamat untuk Parlimen bersidang,” katanya kepada Agenda Daily.

Sementara itu mengulas mengenai Pelan Pemulihan Negara yang diumumkan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, Salawati berkata, kerajaan telah ambil maklum mengenai kegusaran rakyat dengan mengenalpasti pendekatan terbaik untuk membawa negara keluar daripada krisis selepas pandemik.

“Pada saya baguslah kerajaan telah sedar akan kesusahan rakyat, kena beringat kalau tutup ekonomi ramai yang muflis, kena percepatkan lagi sebab semua berada dalam keadaan yang tidak berapa baik,” katanya.

Terdahulu, Muhyiddin memberi jaminan pentadbirannya sentiasa mengutamakan proses demokrasi dan mengumumkan sidang Parlimen akan dibuka semula pada September atau Oktober depan nanti.

Muhyiddin bagaimanapun menegaskan sidang Parlimen tersebut perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ketat dan kerajaan terlebih dahulu perlu memastikan usaha memerangi penularan Covid-19 dapat ditangani dengan segera.

“Ini adalah pendirian saya dari awal bahawa sistem demokrasi berparlimen boleh berfungsi semula pada masa yang sesuai, iaitu setelah kes-kes Covid-19 terkawal dan kita hampir mencapai imuniti kelompok,” katanya semasa Perutusan Khas Perdana Menteri yang disiarkan secara langsung hari ini.

Sementara itu, penganalisis politik dari Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dr Sivamurugan Pandian, berpandangan kerajaan menunggu pada saat yang paling selamat sebelum Parlimen dibuka.

“Saya rasa PM ingin menunggu kepada fasa yang memungkinkan Parlimen dibuka pada fasa ketiga kalau tak salah saya, kita lihat sudah pasti dapat reaksi daripada pihak lain yang mahu melihat Parlimen dibuka segera, cumanya saya tidak pasti kenapa kena tunggu September atau Oktober.

“Tetapi apa pun dari Jun sehingga Ogos jika Parlimen tidak bersidang kerajaan boleh memikirkan mekanisma lain untuk membolehkan kerajaan dan pembangkang bersama dalam menangani isu Covid-19, mungkin ada ruang yang boleh dipakai bagi bersama-sama menyumbang kepada fasa pemulihan Covid-19,” katanya kepada Agenda Daily.

Dalam pada itu menyentuh pelan kerajaan pula, Sivamurugam berkata, kerajaan perlu memastikan perkhidmatan yang direncanakan itu sampai kepada rakyat.

“Setiap fasa harus dipastikan dilancarkan dengan rapi dan teliti serta melihat kepada kepelbagaian senario ketika ini sebelum sebarang isu timbul.

“Bagi saya yang penting setiap fasa itu harus dipastikan sistem penyampaiannya menjadi lebih baik,” katanya.

Sementara itu, Pensyarah Pengajian Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi Universiti Teknologi Mara, Mujibu Abd Muis berkata, untuk sementara waktu jaminan oleh kerajaan untuk membuka kembali sidang Parlimen pada September atau Oktober ini nampak positif.

Bagaimanapun katanya, adalah lebih baik kerajaan mencari mekanisma yang lebih sesuai untuk mengadakan persidangan sebelum bulan berkenaan tiba.

“Dalam konteks Parlimen di buka tak perlu ditunggu kita nampak kaedah bersidang itu masih ada cadangan iaitu persidangan Parlimen secara hibrid,” katanya lagi.

BERITA BERKAIT
POPULAR