
Datuk Seri Mukhriz Mahathir.
Parti Pejuang Tanahair (Pejuang) akan memperkenalkan kesemua 42 calon yang akan bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, dua hari sebelum hari penamaan calon.
Presidennya Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir berkata parti itu kini sedang memuktamadkan senarai calon, yang akan turut diwajibkan menjalani Ujian Psikometrik Anti-Rasuah (RBTAG), menurut laporan Bernama.
“Siapa yang akan kami tonjolkan sebagai calon mestilah bersih, cekap dan amanah kerana sudah tiba masanya Johor mempunyai pentadbiran kerajaan negeri yang bersih serta berintegriti.
Pada ketika itu, kita akan lihat kombinasi nisbah calon, antara lelaki, wanita, orang lama dan orang muda,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Jentera Pejuang di sini malam ini.
Mengenai keputusan parti itu yang muktamad untuk bertanding solo pada pilihan raya negeri ini, beliau berkata jentera parti berkenaan telah bersiap sedia untuk bertanding di Johor.
“Kita ambil perhatian 42 kerusi DUN ini dan kesemua calon akan bertanding di bawah panji Pejuang,” katanya.
Mengenai keyakinan parti berkenaan untuk berjuang solo, Ahli Parlimen Jerlun itu berkata Pejuang perlu bergerak yakin meskipun masih baharu dan tidak mempunyai nama-nama terkenal tetapi mempunyai barisan pemimpin yang berpengalaman luas dalam kerajaan sebelum ini.
Ditanya mengenai sama ada Pengerusi Pejuang Tun Dr Mahathir Mohamad akan menjadi model poster parti itu, beliau berkata ianya tidak salah, malah bekas Perdana Menteri itu masih dikenali dan disayangi rakyat.
Semalam Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan tarikh penamaan calon bagi PRN Johor ialah pada 26 Februari ini dan hari mengundi pada 12 Mac.