PEJUANG lihat dua tiga parti lain ‘sebulu’ lawan rasuah

Tun Dr Mahathir Mohamad mengesahkan Parti Pejuang Tanahair (PEJUANG) sedang melihat beberapa parti lain yang ‘sebulu’ bagi membentuk kerajaan negeri Johor jika tiada yang memperoleh majoriti pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 12 Mac ini.

Bagaimanapun, Pengerusi PEJUANG itu menegaskan parti berkenaan perlu mempunyai prinsip sama seprti partinya, terutama dalam menghapuskan gejala rasuah.

“Kalau mereka pegang pada prinsip sama, kita rela bekerjasama dengan mereka untuk mencukupkan bilangan (kerusi Dewan Undangan Negeri) supaya kita dapat menubuhkan kerajaan.

“Ada dua tiga parti dan kita belum tentukan yang mana,” katanya pada sidang media selepas menghadiri program Aspirasi Johor di Felda Ayer Hitam, Batu Pahat. Hari ini adalah kali pertama bekas Perdana Menteri Malaysia dua kali itu turun berkempen untuk PRN Johor, setelah semakin sihat akibat serangan jantung hujung tahun lalu.

Dr Mahathir bagaimanapun tidak menyatakan parti-parti yang menjadi perhatian PEJUANG untuk bekerjasama.

Mengenai kehadirannya di Johor walaupun baharu sahaja pulih daripada sakit, Dr Mahathir berkata beliau turun bagi menyatakan kepada rakyat Johor mengenai kepentingan menubuhkan kerajaan yang bersih.

Sebelum ini, Presiden PEJUANG Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata parti itu sedia bekerjasama dengan parti lain selepas PRN Johor.

Menurutnya, dalam membentuk kerajaan di Malaysia, langkah itu perlu demi perpaduan dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum, agama serta budaya dan parti tersebut ‘hanya mempunyai satu bangsa iaitu Melayu’.

“Pejuang bertanding di 42 kerusi, mahu tak mahu sesebuah kerajaan yang ditubuh mestilah ada campuran wakil semua kaum dan itu tak datang daripada kami, jadi kita kena cari satu kesepakatan dengan pihak lain,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata Pejuang belum menetapkan parti yang bakal dipilih untuk bekerjasama.

BERITA BERKAIT
POPULAR