
Tun Dr Mahathir Mohamad semasa diwawancara dengan Agenda Daily di pejabatnya, Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya.
Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Wilayah Persekutuan mencadangkan pengerusinya yang juga bekas Perdana Menteri (PM) dua kali, Tun Dr Mahathir Mohamad mengetuai semula kerajaan jika menang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) yang dijangka diadakan tahun depan.
Ketua Pejuang Wilayah Persekutuan Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan berkata Dr Mahathir – yang berusia 97 tahun pada 10 Julai lalu – masih yang paling layak dalam kalangan semua ahli politik untuk menjadi PM, lapor FMT.
“Mengapa kita tidak mencalonkan Mahathir? Beliau mempunyai lebih kemahiran dan pengetahuan berbanding pemimpin lain di negara ini.
“Kebolehan (Datuk Seri) Anwar Ibrahim, (Datuk Seri) Najib Razak, (Tan Sri) Muhyiddin Yassin dan lain-lain tidak boleh dibandingkan dengan Mahathir,” Khairuddin dipetik sebagai berkata.
Anwar yang juga Presiden PKR kini mengetuai gabungan Pakatan Harapan (PH), yang memenangi PRU-14 pada 2018 manakala Najib masih mempunyai pengaruh besar dalam gabungan Barisan Nasional (BN) pimpinan UMNO walaupun kalah pada PRU-14.
Muhyiddin, yang mengasaskan Bersatu bersama Dr Mahathir, membawa parti itu keluar daripada PH pada 2020 untuk membentuk gabungan Perikatan Nasional (PN) apabila beliau menjadi PM.
Khairuddin berkata sekiranya Dr Mahathir menjadi PM sekali lagi, satu “pelan induk” untuk menyelesaikan semua masalah Malaysia akan disediakan, sambil menyatakan bahawa Ahli Parlimen Langkawi itu tidak pernah goyah dalam perjuangannya untuk menegakkan kebenaran.
“Pengalaman luas beliau akan membantu membina Malaysia baharu. Tidak ada orang yang lebih baik,” Khairuddin dipetik sebagai berkata oleh FMT.
Dr Mahathir mengumumkan pada Mac bahawa beliau tidak akan mempertahankan kerusi Parlimen Langkawi pada PRU-15, sebelum mengisytiharkan pada 30 Jun lalu bahawa beliau akan terbuka untuk bertanding jawatan jika tiada calon lain.