Peja nasihat Idris Haron ‘mengaji’ susulan cadangan kerjasama PH, PN

Timbalan Presiden Bersatu Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu menasihatkan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO Melaka, Datuk Seri Idris Haron supaya belajar mengaji bagi menghabiskan masa lapangnya.

Kenyataan itu dibuat susulan cadangan Idris supaya Pakatan Harapan (PH) bekerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) akan datang.

“Saya juga nak cadangkan Datuk Idris Harun… mungkin sebagai kawan. Selepas saya jadi Menteri Besar Perak… saya lapan bulan cuti.

“Saya belajar mengaji saya belajar perbetul bacaan saya dalam sembahyang dan sebagainya… jadi Idris Haron sekarang banyak masa elok buat macam tu,” katanya pada sidang media hari ini.

Sambil menolak cadangan itu, Ahmad Faizal yang lebih dikenali ‘Peja’ berkata semua syor untuk menyatupadukan rakyat negara ini adalah langkah yang baik.

“Tetapi kalau nak campurkan air laut dengan air tawar, kemudian nak bersihkan ikan.. ia bukan satu tindakan yang bijak… itu saya tidak boleh terima,” tegas beliau.

Terdahulu Idris mencadangkan PH dan PN pimpinan Bersatu perlu bersatu menentang Barisan Nasional (BN) dalam PRU15 dengan memberi alasan pakatan itu mempunyai “wow factor” untuk menang.

“Kena ada satu wow factor, mesti ada sesuatu besar berlaku dalam PH. Saya lihat kalau PH pergi solo, kita mungkin hadapi kesukaran mendapat sokongan pengundi-pengundi yang ikut parti.

“Jadi saya melihat wow faktor tu, salah satunya kalau ada kerjasama antara PH dan PN semula,” kata Idris.

Idris adalah antara empat ADUN yang menjadi punca pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka hingga menyebabkan Pilihan Raya Negeri (PRN) terpaksa diadakan, kalah di DUN Asahan ketika mewakili PKR.

Mengulas lanjut, beliau berkata Perhimpunan Agung Bersatu akan diadakan pada Ahad ini di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) setelah persidangan Srikandi dan Armada Bersatu bermula esok.

Menurutnya, bagi memastikan semua perwakilan Bersatu bebas daripada jangkitan Covid-19, ujian sarigan akan dilakukan bermula hari ini.

BERITA BERKAIT
POPULAR