
Bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas.
Tindakan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang meminta Menteri Undan-Undang, Datuk Seri Azalina Othman Said membongkar habis melibatkan memoir peguam negara Tan Sri Tommy Thomas menerima reaksi kurang senang beberapa peguam yang pro-Pakatan Harapan (PH).
Peguam hak asasi, Andrew Khoo menyifatkan kenyataan Zahid tersebut tidak profesional sama sekali yang dilihat mempunyai unsur partisan dan seakan-akan UMNO mempunyai agenda tersendiri sehingga mahu menghukum Tommy yang sebelum ini berkhidmat sebagai peguam negara ketika PH memerintah selama 22 bulan selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 lalu.
“Ini dilihat sebagai seruan yang sangat (bersifat) partisan, seolah-olah menjadi agenda Umno untuk ‘mengejar’ bekas peguam negara itu,” katanya dipetik laporan portal FMT.
Khoo berkata, inkuiri itu bertujuan menyiasat dakwaan yang dibuat oleh
Thomas dalam buku itu, bukan peranannya sebagai bekas peguam negara mahupun sebarang “agenda sulit”.
Pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) semalam, Zahid, yang juga Timbalan Perdana Menteri, berkata Azalina akan “menggagalkan UMNO keseluruhannya” jika tidak bersungguh-sungguh dalam inkuiri itu.
Azalina sebelum ini berkata, Jemaah Menteri telah bersetuju untuk menubuhkan suruhanjaya siasatan diraja untuk meneliti dakwaan dalam memoir Thomas.
Bekas presiden Badan Peguam Malaysia, Datuk Ambiga Sreenevasan pula berkata, kenyataan Zahid itu membayangkan wujudnya campur tangan dalam kebebasan inkuiri yang dicadangkan itu, dan bukti bahawa inkuiri tersebut adalah untuk kepentingan UMNO, terutamanya pemimpin parti itu yang berdepan perbicaraan.
Ambiga berkata, beliau menyokong kerjasama gabungan campuran, tetapi ia tidak boleh mengatasi institusi penting.
Memoir Thomas mengundang kritikan daripada Peguam Negara Tan Sri Idrus Harun, peguam, ahli politik, malah orang awam, yang membawa kepada banyak laporan polis dibuat.
Antara dakwaan dalam buku itu termasuk bahawa beliau mengadakan perbincangan dengan perdana menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad, mengenai pelantikan Ketua Hakim, Presiden Mahkamah Rayuan dan Hakim Besar Sabah dan Sarawak.
Oktober tahun lepas, polis berkata, mereka sedang melengkapkan siasatan terhadap Thomas atas dakwaan menghasut serta kesalahan lain yang disyaki berhubung dakwaan dalam memoirnya.