
Presiden PBM, Datuk Zuraida Kamaruddin mengesahkan masih menunggu keputusan permohonan daripada Barisan Nasional.
Parti Bangsa Malaysia (PBM) akan menerima apa sahaja kemungkinan berhubung permohonan parti itu untuk menyertai Barisan Nasional (BN).
Bakal presiden parti berkenaan Datuk Zuraida Kamaruddin berkata keputusan itu dijangka diketahui sejurus selepas mesyuarat Dewan Tertinggi BN yang dijadual Isnin ini, menurut Bernama.
“PBM mempunyai semangat yang tinggi kerana saya melihat daripada pengalaman, kita boleh mengharungi apa sahaja kemungkinan,” katanya selepas merasmikan pejabat Majlis Pimpinan Negeri PBM Perak di Ipoh, hari ini.
Sebelum ini, Timbalan Pengerusi BN Datuk Seri Mohamad Hasan dilaporkan berkata keputusan permohonan PBM untuk menyertai parti itu akan dibuat kepemimpinan secara konsensus pada mesyuarat Dewan Tertinggi BN.
“BN ini merupakan parti yang keputusannya dibuat secara konsensus, semua pihak atau parti komponen dalam BN bersetuju, baru boleh. Tunggulah sehingga mesyuarat diadakan.
“Perbincangan akan diadakan semasa mesyuarat tersebut dan semua pihak mesti bersetuju, kalau ada satu pihak tidak bersetuju ia tidak akan boleh dilakukan,” kata Mohamad.
Sementara itu, Zuraida yang juga Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi berkata PBM mempunyai calon berkaliber dengan rekod perkhidmatan yang bagus kepada rakyat, dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Beliau berkata rakyat tidak lagi mengundi calon wakil rakyat berdasarkan parti seperti diamalkan sebelum ini, sebaliknya memilih calon yang mampu memberi khidmat terbaik.
Untuk rekod, Zuraida sebelum ini bertindak keluar PKR dan menyertai Bersatu sebelum sekali lagi mengumumkan keluar parti dan menyertai PBM yang baharu ditubuhkan tahun lalu.