
Setiausaha Agung PBM, Nor Hizwan Ahmad.
Parti Bangsa Malaysia (PBM) berhak menentukan hala tujunya sendiri tanpa perlu mengikut telunjuk mana-mana pihak.
Setiausaha Agungnya, Nor Hizwan Ahmad mempertahankan langkah diumumkan bakal Presidennya, Datuk Zuraida Kamaruddin yang sebelum ini mengesahkan sudah menghantar permohonan kepada Barisan Nasional (BN) untuk menyertai gabungan itu.
“Bagi saya segala keputusan PBM ditentukan oleh kepemimpinan melalui mesyuarat Biro Politik dan Majlis Tertinggi.
“Pimpinan mencadangkan selepas berdiskusi panjang dalam beberapa siri dan menyimpulkan perlu menyertai gabungan untuk Pilihan Raya Umum (PRU). Ini dipersetujui oleh semua.
“Sebagai parti yang sah berdaftar, adalah hak kami untuk menentukan hala tuju politik PBM. Kita melihat gabungan yang boleh memberi manfaat panjang kepada negara khususnya dari segi kestabilan ekonomi dan penyatuan rakyat.
“Bukan bertelagah mengenai kuasa, jawatan dan kedudukan,” katanya dipetik laporan BH.
Zuraida sebelum ini memberitahu permohonan itu sudah dibuat sejak tiga minggu lalu bagaimanapun setakat ini masih tiada sebarang maklum balas diberikan oleh BN berhubung status sama ada menerima PBM atau sebaliknya.
Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini turut memaklumkan belum menerima permohonan rasmi daripada PBM, bagaimanapun terbuka untuk menerima kemasukan parti berkenaan bagi menyertai gabungan itu.
Zuraida yang juga Ahli Parlimen Ampang itu sebelum mengumumkan langkah keluar Bersatu dan menyertai PBM, tetapi kekal menyokong kerajaan sedia ada dipimpin Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.