
Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP Teo Nie Ching.
DAP menghormati keputusan Pemuda UMNO yang dilaporkan tidak akan menjemput wakil parti lain dalam kerajaan perpaduan bagi menghadiri persidangan pergerakan itu, minggu depan.
Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP Teo Nie Ching berkata setiap sayap parti mempunyai pendekatan, pandangan dan kaedah berbeza yang perlu difahami dalam gabungan tersebut.
“Apa juga keputusan yang dibuat UMNO mahupun sayap Pemuda, Puteri dan Wanita, kami sebagai rakan dalam kerajaan perpaduan terima dan hormati. Itu adalah hak UMNO.
“Sekiranya dijemput, kami ucapkan terima kasih namun tidak akan berkecil hati jika tiada undangan kerana itu adalah hak mereka sebagai penganjur dan mungkin ada faktor-faktor tertentu,” katanya kepada pemberita selepas menonton filem Polis Evo 3 bersama komuniti polis Kulai di Kulai, hari ini.
Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital yang juga Naib Pengerusi DAP Johor itu berkata paling penting adalah komitmen yang tinggi oleh Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dalam kerajaan perpaduan bagi mengukuhkan gabungan itu.
Jumaat lepas, Ketua Pemuda UMNO Dr Muhamad Akmal Salleh dilapor berkata sayap itu tidak akan menjemput wakil mana-mana parti dalam kerajaan perpaduan ke perhimpunan sayap berkenaan sempena Perhimpunan Agung UMNO 2023 pada 7 hingga 10 Jun ini.
Dr Muhamad berkata keputusan itu diambil secara sebulat suara menerusi undian oleh semua barisan exco dan ketua pemuda UMNO negeri. – Bernama, 4 Jun, 2023.