PAU 2021: Ucapan Zahid jadi tumpuan

Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2021, terakhir sebelum Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) diadakan, bermula hari ini hingga esok (19 Mac 2022), dengan dimulai acara menaikkan bendera UMNO di Menara Datuk Onn di Kuala Lumpur.

Perhimpunan kali ini dianggap penting di mana Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang sekarang ini sedang menyampaikan ucapan dasarnya pagi ini dijangka menyentuh beberapa isu penting termasuk PRU-15.

Selain itu, Zahid juga dijangka memberi tumpuan kepada isu pelantikan Menteri Besar Johor, ketidakstabilan politik, Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka serta Johor dan kerjasama dengan PAS.

Ia disusuli dengan sesi perbahasan sebelum penggulungan.

PAU 2021 diadakan selama empat hari bermula Rabu dan selaras dengan situasi Covid-19, ia diadakan dengan prosedur operasi standard (SOP) ketat termasuk pematuhan pemakaian pelitup muka serta penjarakan fizikal.

Pada Rabu, berlangsung perasmian serentak dan diikuti persidangan tiga sayap Wanita, Pemuda dan Puteri pada Khamis yang menyaksikan pemantauan ketat oleh Kementerian Kesihatan (KKM).

Secara keseluruhan, perwakilan bagi ketiga-tiga sayap menekankan persiapan jentera parti dalam menghadapi PRU-15, susulan kejayaan Barisan Nasional dan UMNO memenangi dua PRN baru-baru ini.

Perhimpunan yang disertai 5,571 perwakilan itu kali ini dilihat penting bagi parti berusia lebih 70 tahun itu menentukan hala tujunya dalam menghadapi persiapan menghadapi PRU-15.

BERITA BERKAIT
POPULAR