PAU 2021: Kini UMNO bermusuh dengan semua parti, mahu PRU-15 segera

Perhimpunan Agung UMNO 2021 (PAU) melabuhkan tirainya hari ini dengan mengisytiharkan semua parti lawan adalah musuh mereka, lebih malang lagi PAS yang dahulunya dianggap sahabat kini pun dianggap parti ‘jahanam’.

Berbeza dengan naratif tahun lalu semasa merancang menjatuhkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) bersama-sama dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sangat yakin partinya itu sudah kuat dan tidak lagi perlu pertolongan Presiden PKR tersebut.

Sejak hari pertama tirai pembukaan sayap UMNO sehingga hari penutupan PAU, setiap perkataan meniti di bibir mulut pemimpin utamanya sehingga ke perwakilan adalah mendesak pilihan raya umum ke-15 (PRU-15) disegerakan.

Malah, Zahid pada ucapan penutup juga memberi peringatan kepada Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob supaya tidak mengambil masa terlalu lama untuk membubarkan Parlimen.

Isyarat jelas diberikan Zahid kepada Ismail Sabri walaupun secara berlapik memberitahu Ismail Sabri diberikan peluang sehingga sekurang-kurangnya tamat memorandum persefahaman (MoU) dengan blok pembangkang, Pakatan Harapan (PH) pada Julai nanti.

Bagaimanapun, setiap kata-kata anak murid Anwar tersebut boleh berubah sekelip mata dan lain yang dicakapnya, lain yang dibuatnya.

Lihat yang berlaku semasa PAU tahun lalu, keputusan yang dibuat hanya untuk menamatkan kerjasama dengan Bersatu tetapi rentetan episod demi episod krisis politik selepas itu nyata berlainan dengan ketetapan yang dibuat semasa PAU.

Bermula dengan rancangan jajaran baharu yang dicadangkan Zahid sehinggalah bertukar rancangan kepada pelantikan Ismail Sabri sebagai PM Kesembilan.

Semua perkara tersebut tidak termasuk dalam ketetapan PAU tahun lalu, ia hanya bermula dengan langkah menamatkan kerjasama dengan Bersatu tetapi sebaliknya ia berakhir dengan Zahid bersama sekumpulan Ahli Parlimen UMNO menarik sokongan terhadap kerajaan PN dan Tan Sri Muhyiddin Yassin meletak jawatan secara terhormat.

Lebih menarik lagi, Zahid cuba mengambil kredit dengan mendakwa nama Ismail Sabri sebenarnya dicadangkan oleh dirinya walhal faktanya adalah berbeza sama sekali, ia boleh disahkan oleh Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang dan Muhyiddin.

Realitinya, nama Ismail Sabri dicadangkan oleh Muhyiddin yang dipersetujui oleh Hadi dan juga Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) Tan Sri Abang Johari Tun Openg, itu pun secara bersyarat.

Zahid dan rakan karibnya, Datuk Seri Najib Razak adalah orang terakhir yang bersetuju untuk menandatangani Akuan Bersumpah (SD) menyokong Ismail Sabri sebagai PM ketika itu.

Ia bukan suatu yang pelik untuk mendengar cerita yang dimanipulasi Zahid, jadi tidak hairanlah jika Anwar yang dianggap cikgunya sendiri pun sanggup ditipu.

Rakyat tidak lupa tentang surat sokongan yang dihantar Zahid dan Najib ke Istana Negara untuk menyokong Anwar sebagai PM tetapi alih-alih bertukar fikiran selepas Muhyiddin mencalonkan Ismail Sabri sebagai penggantinya.

Jika Zahid begitu berlagak dengan sumpah laknatnya, mengapa sehingga hari ini sumpah berhubung surat menyokong Anwar mahupun klip audio perbualan tular masih tidak dilakukannya.

Dengan kemenangan dua Pilihan Raya Negeri (PRN) di Melaka dan Johor, Zahid sangat merasakan UMNO sebagai sebuah parti terkuat walaupun peratusan pengundi yang keluar adalah rendah disamping rakyat masih takut untuk keluar mengundi akibat penularan Covid-19.

Tidak salah untuk Zahid merasakan UMNO begitu kuat sehingga mahu Ismail Sabri membubarkan Parlimen segera, apatah lagi pembangkang kini sudah berpecah-belah dan tidak bersatu padu, ia pastinya akan memberi untung kepada parti tersebut untuk kembali menjadi dominan seperti sebelum ini.

Langkah memancing PAS untuk menjadi sahabat menerusi persefahaman Muafakat Nasional (MN) ketika parti itu lemah berhasil mengukuhkan kedudukan UMNO, tetapi apabila sudah kuat maka PAS pun dicampaknya begitu sahaja.

Lebih teruk lagi, perwakilan UMNO Kelantan begitu lantang menghina tok guru, Hadi dan dua lagi pemimpin parti Islam itu sebagai ‘jahanam’, ia seakan PAS tidak lagi berguna buat UMNO selepas kembali menikmati kemanisan kuasa semula.

Segala pengorbanan dan jasa PAS dalam membantu UMNO yang tempang akhirnya dicampak begitu sahaja, ia mengingatkan lagi kembali nasihat Almarhum Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sebelum ini yang tidak akan sama sekali bekerjasama dengan UMNO dan terbukti nasihat tersebut ada kebenarannya.

Selepas PAS menghulurkan tangan memberi bantuan, tetapi kini UMNO membalas dengan racunnya dan lebih malangnya dihina pula dengan pelbagai kecaman.

Zahid dan pemimpin UMNO menyifatkan PAS sebagai tidak jujur dalam menjalinkan hubungan dengan mereka, ia perkara sama yang dilakukan terhadap Muhyiddin dengan label parti ‘pengkhianat’ atau parti ‘katak’ walhal sebelum ini semasa menubuhkan kerajaan bersama boleh sahaja duduk berbincang bersama.

Rakyat tidak lupa UMNO yang menarik sokongan terhadap kerajaan Muhyiddin pada ketika negara sedang berdepan ancaman Covid-19, malah dua PRN yang diadakan dengan kos belanja puluhan juta adalah demi memuaskan nafsu politik Zahid dan Najib semata-mata.

Bukankah lebih baik wang tersebut digunakan untuk membantu rakyat yang sedang berdepan kesempitan hidup, tetapi tidak bagi Zahid dan Najib yang sudah tidak ada masa lagi memandangkan kes mahkamah semakin menghimpit mereka.

Begitulah Zahid sebagai Presiden UMNO, maka dibawahnya pun mengikut sama dan sehinggakan rakyat tertipu dengan helah permainan politik mereka dalam UMNO yang tersepit dengan kes mahkamah.

Realitinya, sejak awal lagi UMNO sudah merancang untuk memecahkan semua parti lawan mereka, ia bermula dengan langkah menumbangkan kerajaan PH dan sehinggalah menumbangkan kerajaan PN.

Bahkan UMNO bukan sahaja berjaya mewujudkan perpecahan dalam kalangan parti politik, mereka juga kini menjadi semakin kuat dengan sokongan pengundi tegar yang totok mempercayai kata-kata manipulasi Zahid dan Najib.

Bagaimanapun, pepatah Melayu ada menyebut “Sepandai-pandai tupai melompat, jatuh ke tanah akhirnya”. Lompatlah tinggi-tinggi Zahid dan Najib, tiba masanya jatuh ke tanah jua.

Jangan ingat kes salahguna kuasa dan kehilangan wang rakyat sebelum ini mudah dilupakan begitu sahaja, panggilan ‘Bossku’ dalam penjara mungkin lebih menggembirakan buat Najib selepas ini.

Dalam penjara Sungai Buloh, menjeritlah sepuas hati ‘Bossku’ kerana akhirnya rakyat adalah boss sebenar dan bukan seorang penyamun.

BERITA BERKAIT
POPULAR