PAU 2020 paling pelik, UMNO tidak lagi menyerang DAP

Perhimpunan Agung UMNO 2020 (PAU) kali ini paling pelik berbeza dengan tahun-tahun sebelum ini apabila pemimpin-pemimpin atasan hingga lah ke perwakilan tidak lagi membicarakan tentang bahaya chauvinisme DAP dan mengutarakan usaha ke arah perpaduan orang Melayu.

Ucapan para pemimpin hanya lebih berkisar kepada kata nista dan keangkuhan, lebih banyak menghentam sesama orang Melayu dan Islam dengan kata-kata tidak sewajarnya yang menguris sesama bangsa.

Tahniah perwakilan UMNO, rakyat mungkin sudah tahu perwatakan sebenar sebuah parti lama ini yang hanya mementingkan kuasa demi kelangsungan politik individu tertentu yang terpalit dengan berdozen kes di mahkamah.

Agenda Daily mengumpulkan beberapa kata-kata pemimpin UMNO yang angkuh dan penuh dengan kebencian.

1. Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Ahmad Zahid Hamidi

“Bukan riak atau takabur, kita akan bertanding atas nama BN dan logo dacing.

“Biar saya jelaskan, once and for all, untuk UMNO menjadi dominan semula selepas PRU-15, pertamanya, kita mesti menang kerusi terbanyak. Kedua, BN perlu menentukan parti mana yang benar-benar ikhlas dan jujur untuk membentuk kerajaan bersama kita.”

2. Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan (Tok Mat)

“UMNO tidak akan memperjudikan mana-mana kerusi UMNO. Kerusi UMNO adalah kerusi UMNO, dahulu, kini dan selamanya. Ia bukan untuk dilepaskan, demi memberi talian hayat kepada mana-mana pihak.” – Mohamad Hassan

“Jadi, kepada pemimpin serpihan parti Melayu yang baru setahun jagung usianya, usahlah tuan-tuan berbicara tentang perpaduan ummah dengan UMNO.”

3. Ketua Wanita UMNO, Datuk Noraini Ahmad

“Kita bersetuju UMNO dan Bersatu sukar untuk tidur sebantal kerana kita punya mimpi yang berbeza. UMNO dan Bersatu banyak bertembung dari segi kepentingan, atas sebab itulah kita sukar untuk mengadakan kerjasama dalam PRU.”

4. Ketua Pemuda UMNO, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki

“Tetapi sudah tentu kita harus bertanya pada sahabat kita PAS, memandangkan pendirian Pengerusi Bersatu untuk bertanding di semua kerusi yang ditandingi oleh kita, adakah mereka akan bersama dengan kita atau sebaliknya.

“Ini penting. Sebelum masuk gelanggang perang kita kena tahu siapa musuh dan kawan, kawan yang tidak tikam belakang, kawan yang akan bersama sehingga ke penghujungnya,”

5. Ketua Puteri UMNO, Datuk Zahida Zarik Khan

“Bahkan nama-nama parti yang menjadi tunggak pemerintahan sekarang pun semakin tidak popular. Personaliti pemimpin kerajaan sekarang pun tidak popular. Menumpang biarlah pada yang kuat, jangan menumpang kepada yang membawa rebah.

“Jadi sebab itu sempena dengan Perhimpunan Agung kali ini kita meminta parti untuk mengkaji semula keputusan yang dibuat untuk bersama dengan kerajaan sehingga Parlimen dibubar atau tidak lagi bersama kerajaan dengan seberapa segera.”

6. Pengerusi Jemaah Penasihat UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah

“Itu terpulang kepada PAS kerana kita bersikap bersama dengan dia dalam Muafakat Nasional (MN). Tetapi selepas kita buat keputusan tarik diri daripada PN dan menteri-menteri kita (Umno) akan berhenti daripada menjadi menteri, timbalan menteri, daripada menjadi pengerusi GLC, lantikan kerajaan PN, kita tidak ada kena mengena lagi dengan PN.

“Oleh kerana itu, kita akan melawan. Kalau PAS masih ada di situ (bersama PN), kita lawanlah dia. Apa nak buat,” katanya lagi.

7. Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan

“Saya kira PAS mungkin ingin terus menjadi jambatan kepada hubungan…(Bersatu). Walaubagaimanapun kita telah menyatakan bahawa hubungan dengan Bersatu ini sudah dinoktahkan.

“Kalau PAS berhasrat untuk menjadikan jambatan, ia tidak akan berlaku. Bagaimanapun yang penting hubungan Umno dan PAS itu dipersetujui oleh semua jurucakap setakat ini dan ini perkara yang sungguh baik.”

POPULAR