Pasukan Khas Covid-19 Selangor patut bubar, banyak main politik

Setiausaha PAS Selangor, Roslan Shahir Datuk Mohd Shahir mencadangkan Pasukan Khas Covid-19 Selangor dipengerusikan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dibubarkan kerana banyak bermain politik.

Malah beliau melihat pasukan itu tidak memainkan peranan apa-apa membantu rakyat, dalam menangani pelbagai masalah termasuk menyediakan pusat pemberian vaksin (PPV) di Selangor bagi memudahkan orang ramai menerima suntikan vaksin Covid-19.

“Cukup-cukuplah bermain politik dan menyalahkan orang lain dalam keadaan rakyat sedang susah. Jika pasukan khas ini gagal maka bubarkanlah sahaja.

“Jika kerajaan negeri gagal maka serah sahaja segala-galanya kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN). Jangan gadaikan masa depan mereka kerana sibuk bermain politik,” katanya.

Pasukan Khas Covid-19 Selangor itu juga dilihat lebih banyak memberi tumpuan kepada program ‘menjual’ vaksin bagi pihak anak syarikat kerajaan negeri berbanding mengutamakan program vaksinasi rakyat.

Sebelum ini Agenda Daily melaporkan kerajaan PKR Selangor mendakwa bekalan vaksin yang diperuntukkan oleh Kerajaan Pusat tidak mencukupi, sebagaimana dibangkitkan oleh seorang Exconya, Dr Siti Kamariah Mahmud.

Sebaliknya timbul pula persoalan apabila tular dakwaan aktiviti menjual vaksin kepada pekerja dan majikan di negeri tersebut dengan kadar RM350 untuk mengambik suntikan vaksinasi.

Merujuk kenyataan Pengerusi Pasukan Khas Covid-19 Selangor, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad bahawa kadar kebolehjangkitan di Selangor masih rendah berbanding negeri lain, Roslan Shahir bertanya kembali sekarang apa yang sudah berlaku?

“19 Mei lalu beliau (Dzulkefly) mendakwa pasukannya dan kerajaan Selangor berada dalam tahap baik menguruskan wabak berkenaan. Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) secara menyeluruh akan menjejaskan ekonomi negeri terutamanya peniaga kecil.

“Itu laporan sebulan lebih yang lalu. Semalam Selangor mencatatkan 3,047 kes yang tertinggi sehingga menjadi penyumbang besar kepada kes jangkitan baharu seluruh negara. Akibatnya Kerajaan Persekutuan terpaksa isytiharkan PKPD selama 14 hari di sebahagian besar Selangor.

“Mengapa sebelum ini kerajaan negeri cukup pasif dan memilih-milih untuk bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan? Mungkinkah kerana taksub bermain politik? Rakyat sedang menderita mereka asyik berpolitik.

“Sebulan lebih lalu bekas Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly (AMANAH) mendakwa pasukannya dengan kerajaan negeri sedang menguruskan wabak itu dengan cukup baik di Selangor. Hari ini apa jadi? Apa sebenarnya kerja pasukan khas ini?,” soalnya.

Roslan Shahir juga mempersoalkan kenapa kerajaan PKR Selangor yang mempunyai kedudukan kewangan kukuh tidak mendirikan PPV di setiap 56 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) dan 22 kerusi Parlimen bagi mempercepatkan proses vaksinasi dalam negeri itu.

“Ini tidak… bila diberi vaksin dari Pusat banyak tidak dapat digunakan kerana tidak cukup kemudahan, kenapa tidak didirikan kemudahan?Kenapa pihak berkuasa negeri tidak mengambil inisiatif memeriksa kilang-kilang yang beroperasi tanpa kebenaran?

“Mereka punya pasukan penguat kuasa yang besar di setiap PBT yang sebahagiannya punya kedudukan kewangan yang besar. Terbukti Selangor bawah Pakatan Harapan (PH) lebih gemar bermain politik,” katanya.

BERITA BERKAIT
POPULAR