
Menteri Besar Kedah yang juga Pengerusi Perikatan Nasional Negeri, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Noor, bersama Pengerusi PN Tan Sri Muhyiddin Yassin pada ceramah umum PN BEST di Pusat Konvensyen Pendang di Parlimen Pendang.
Pengundi perlu memberi sokongan kepada calon Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) pada 19 November ini, kerana terbukti PN adalah sebuah kerajaan yang prihatin, bersih dan mampu memberi kestabilan.
Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata ini terbukti ketika Kerajaan PN mengendalikan pandemik Covid-19 – wabak penyakit yang tidak pernah berlaku di mana-mana negara sekalipun.
Menurutnya kira-kira RM600 bilion dibelanjakan oleh Kerajaan PN untuk menghadapi Covid-19, tetapi tidak ada seorang pun pemimpin yang ditangkap kerana melakukan penyelewengan.
“Ketika negara berbelanja begitu banyak, kita tetap membuktikan Perikatan Nasional yang memimpin Kerajaan Persekutuan dan negeri-negeri pada ketika itu tetap bersih.
“Tak ada siapa yang kena tangkap, tak ada siapa buat isu, tidak ada skandal walaupun RM600 bilion dibelanjakan untuk menghadapi pandemik Covid termasuk kesannya.
“Ini semua adalah disebabkan Perikatan Nasional adalah sebuah parti yang bersih dan stabil,” katanya berucap pada ceramah umum PN BEST di Pusat Konvensyen Pendang di Parlimen Pendang, malam tadi (Isnin, 7 November 2022). Pengerusi Perikatan Nasional Tan Sri Muhyiddin Yassin turut hadir pada majlis itu.
Ketika mengulas mengenai istilah stabil yang diamalkan Perikatan Nasional, Muhammad Sanusi yang juga Pengerusi PN Kedah berkata beliau mempunyai formula penting yang telah dikajinya yang boleh menjadikan sesebuah kerajaan itu stabil.
Beliau memberi contoh Kerajaan Kedah yang sekarang ini berada dalam keadaan stabil, walaupun ada cubaan menganggu-gugat pentadbiran negeri.
“Rahsia Kedah bersih dan stabil ialah kerana kerusi UMNO sedikit. Kerusi UMNO ada dua (di Kedah). Jadi, Kedah bersih dan stabil… tidak ada apa-apa yang berlaku.
“(Tetapi) bila kerusi UMNO banyak maka kerajaan tidak akan stabil. Contohnya di Johor… bertukar kerajaan daripada Pakatan Harapan (PH) kepada Perikatan Nasional.
“Tapi oleh kerana kerusi UMNO banyak, dia menjadi tamak… tukar Menteri Besar (MB)… naik Datuk Hasni Mohamad daripada UMNO… tapi tak puas hati lagi… buat Pilihan Raya Negeri…
“Janji Datuk Hasni akan jadi MB semula… tengok-tengok naik Onn (Datuk Onn Hafiz Ghazi)… jadi kawan tu (Hasni) pun off lah… on off,” katanya bergurau.
Demikian juga katanya apa yang berlaku di Melaka dan Perak apabila kerusi UMNO banyak menyebabkan berlaku pergaduhan sesama sendiri hingga menyusahkan rakyat.
“Inilah formula yang boleh dipercayai dan sudah terbukti,” katanya.
Sehubungan itu, Muhammad Sanusi berkata sekiranya rakyat Malaysia mahukan pentadbiran negara yang prihatin rakyat, bersih tanpa rasuah dan penyelewengan, serta stabil, maka pastikan UMNO dan Barisan Nasional memiliki kerusi yang sedikit.
Kerusi UMNO dan BN, katanya tidak boleh banyak kerana akan menyebabkan negeri atau negara tidak stabil dari segi politik sehingga akan menganggu pentadbiran dan menyebabkan rakyat menanggung kesusahan.
“Sekarang ini pun cuba lihat dalam pemilihan calon-calon untuk mewakili BN (dalam PRU-15). Tak pernah berlaku dalam sejarah (pemilihan calon BN) berselerak.
“Habis tokoh-tokoh besar yang tak diberi peluang untuk bertanding lagi, pilih (calon) entah apa-apa. Habis tutup PDM (pusat daerah mengundi)… apa yang sebenarnya direbutkan… kuasa,” katanya.
Sehubungan itu, Muhammad Sanusi menasihatkan pengundi supaya memilih Perikatan Nasional pada 19 November ini supaya dapat membentuk sebuah kerajaan yang prihatin, bersih dan stabil.