PASleak wujudkan semula polemik dua mazhab dalam UMNO

Dokumen yang dikenali sebagai ‘PASleak’ dan tersebar sejak beberapa hari lalu bakal mewujudkan semula polemik dua mazhab di dalam UMNO, kata bekas Timbalan Ketua Bahagian UMNO Putrajaya, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz.

Menurutnya sama ada kandungan PASleak itu benar atau tidak atau ditokok tambah, yang pasti ia dilakukan pihak yang tidak mahu Muafakat Nasional (MN) digerakkkan semula.

“PASleak bukan minit mesyuarat atau sebarang perancangan, tapi merupakan suatu catatan. Tidak diketahui catatan itu dibuat oleh siapa dan adakah kandungannya benar atau bersama tokok tambah. Ia mahu meningkatkan kebencian kumpulan tertentu di dalam UMNO terhadap PAS.

“Yang pastinya, penyebarannya dibuat oleh pihak yang tidak mahu Muafakat Nasional digerakkan semula dan mahu meningkatkan lagi kebencian kumpulan tertentu di dalam UMNO terhadap PAS.

“Bagi UMNO, ia menggolakkan semula polemik dua mazhab. Pertama, mazhab, UMNO Go Solo, kedua mazhab, Muafakat Ummah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tun Faisal berkata bagi penyokong mazhab Muafakat Ummah, tentulah berita yang diterima tanpa diketahui dengan jelas siapakah sumbernya, ditangani dengan cermat dan penuh tabayyun.

Bagi mereka, lebih baik bertanya kepada PAS dan menyelami sejauh mana agenda permuafakatan demi mengalahkan musuh yang berbeza ideologi masih kukuh dalam diri mereka, katanya.

Beliau berkata tentu bagi penyokong mazhab ini, MN masih boleh digerakkan bagi memastikan matlamat kemenangan dua pertiga majoriti dalam pilihan raya umum ke-15 (PRU-15)  tercapai.

“Bagi penyokong mazhab UMNO Go Solo, berita yang tidak tahu dari mana sumbernya ini disambut ibarat ‘orang mengantuk disorongkan bantal’. Ia disebar secara meluas kepada ahli-ahli UMNO dan ditambah dengan tuduhan yang membakar emosi, bahawa ia adalah ‘minit mesyuarat PAS untuk menghancurkan UMNO’.

“Matlamat akhirnya adalah, PAS adalah parti yang perlu dibenci oleh UMNO, MN mesti dibenam sedalam-dalamnya dan hanya dengan bertanding solo UMNO dan BN akan mencapai kemenangan mutlak dua pertiga majoriti kerana ketika ini UMNO dalam posisi yang sangat kuat dan bukti daripada dua Pilihan Raya Negeri (PRN) yang lalu, UMNO telah diterima rakyat dan boleh menang besar jika PRU-15 dilaksanakan sekarang,” katanya.

Tun Faisal mengingatkan supaya UMNO membuat perkiraan yang betul sebelum mendesak PRU-15 diadakan.

“Dalam PRU-14, JASA meramalkan BN akan kalah dan hanya akan mendapat maksimum 90 kerusi. Bagaimanapun ada Pegawai Khas PM yang yakin BN akan menang besar dua pertiga majoriti dan mengajak kita meraikan kemenangan ini seawal jam 6.30 petang hari kita mengundi.

“Usahlah koyak sangat jika ada yang mempertikaikan kita, lebih-lebih lagi di bulan Ramadan,” katanya.

BERITA BERKAIT
POPULAR