
Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.
Kerajaan campuran dinasihati agar tidak takut dan membuat spekulasi berhubung sokongan dimiliki Perikatan Nasional (PN), kata Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.
Pengarah Pilihan Raya PN itu berkata kerajaan campuran begitu bimbang sehingga terpaksa membuat penafian sendiri berhubung sokongan Ahli Parlimen (MP) kepada PN walhal gabungan pembangkang tidak pernah membuat pengisytiharan jumlah dimiliki.
“Pasal apa dia takut sangat? Pasal dia tahu kita ada (angka) kan. Kalau dia tak nafi mungkin orang anggap perkara itu sebagai khabar angin saja. Bila dinafikan perkara itu, mengikut petua orang tua katanya benda itu betul,” katanya dipetik laporan Sinar Harian.
Menteri Besar Kedah itu malam tadi jentera pilihan raya PN Kedah sempena Himpunan Jentera Pilihan Raya di Padang Awam Guar Chempedak.
Hadir sama, Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainuddin; Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan; Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Dr Ronald Kiandee serta kepimpinan tertinggi PN Kedah.
Bagaimanapun, Sanusi berkata mereka juga menanti-nantikan saat itu dan berharap ia menjadi kenyataan.
“Saya nak mengesahkan pun tak tahu. Nak nafi pun tak tahu. Saya gembiralah kalau boleh berlaku dan saya menanti-nantikan saat itu. Saya doakan ia menjadi kenyataan,” katanya lagi berhubung spekulasi wujudnya gerakan untuk menumbangkan kerajaan.
Sebelum ini, Hamzah selaku Ketua Pembangkang membidas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mencabar pihak yang mendakwa kononnya mempunyai sokongan kukuh untuk menumbangkan kerajaan campuran agar membawa usul berkenaan ke sidang Parlimen akan datang.
Dalam pada itu, Sanusi secara berseloroh meminta pihak yang meragui kesahihan ‘angka’ tersebut agar merujuk kepada ahli Parlimen bagi memastikan adakah ia sesuatu yang mustahil.
“Sangat tidak mustahil (untuk berlaku). Janganlah tanya saya (jumlah SD) sebab saya bukan ahli Parlimen.
“Saya tak tahu (berapa angka), tetapi yang mereka sedang bercakap banyak itu lah,” jelasnya lagi.