PAS tetap pertahan PN bukan parti atau pemimpin

PAS mengulangi pendirian mempertahankan Perikatan Nasional (PN) tatkala salah satu parti gabungan itu – UMNO – berura-ura untuk keluar meninggalkannya, menjelang Perhimpunan Agung UMNO, Sabtu dan Ahad ini.

Pendirian itu dinyatakan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sambil menegaskan bahawa pembentukan PN berlandaskan agenda perpaduan ummah, bukan untuk menyelamatkan mana-mana parti atau pemimpinnya.

Katanya, kemunculan Muafakat Nasional (MN) pada mulanya hanya dianggotai oleh PAS dan UMNO, tetapi kemudian kedua-dua buah parti bersetuju memasukkan Bersatu, sekali gus menjadi asas permulaan kepada konsep Islam memimpin.

“Seterusnya ia dilangsungkan kepada pembentukan gabungan yang lebih besar iaitu Perikatan Nasional (PN) bersama parti-parti yang mewakili pelbagai agama dan kaum yang berjaya mengambil alih kerajaan.

“Gabungan Perikatan Nasional bermatlamat untuk melaksanakan agenda perpaduan ummah yang majmuk sebagai tawaran baharu kepada rakyat Malaysia, berkonsepkan Islam memimpin tanpa menghapuskan kewujudan pelbagai agama dan bangsa.

“Perpaduan ummah bukan untuk menyelamatkan parti atau beberapa orang pemimpin, tetapi bersama-sama menyelamatkan negara dan semua rakyat,” katanya menulis dalam Minda Presiden yang disiarkan dalam laman Facebook beliau hari ini.

Ahli Parlimen Marang itu berkata, PAS sentiasa konsisten memilih demokrasi pilihan raya sebagai pendekatan paling damai walaupun pernah mengalami pengalaman kalah, menang, rebah dan bangun berulang kali sejak ditubuhkan sebelum merdeka.

“PAS tetap menolak pendekatan ekstrem di jalan raya dan masuk hutan, sehingga gagal diprovokasikan oleh sesiapa sahaja bagi memangsakan rakyat untuk mendapatkan kuasa,” katanya.

BERITA BERKAIT
POPULAR