PAS tersinggung gelaran ‘3 jahanam’, Takiyuddin jawab ‘see you in GE15’

PAS mencabar UMNO bertarung pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) selepas tersinggung dengan gelaran ‘tiga jahanam’ yang diberikan kepada pemimpin atasan parti itu ketika Perhimpunan Agung UMNO (PAU) baru-baru ini.

Bagaimanapun, pada masa sama parti itu juga menegaskan komited untuk terus memperkasakan Muafakat Nasional (MN) – kerjasama antara PAS dan UMNO – serta mempertahankan Perikatan Nasional (PN) – gabungan yang disertainya dengan beberapa parti, termasuk Bersatu dan Gerakan.

Setiausaha Agung PAS Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata parti itu sudah lali dengan pelbagai gelaran dan tuduhan dilemparkan pemimpin UMNO terhadap pemimpin PAS.

Menjawab soalan media sama ada parti itu tersinggung dengan gelaran diberikan Ketua UMNO Bahagian Pasir Puteh Datuk Zawawi Othman terhadap tiga pemimpin parti itu, Takiyuddin yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu berkata:

“Sebelum ini banyak lagi jahaman dia kata pada kita (PAS)… kalau tiga itu tak banyak, tak apa lah, see u in General Election 15.”

Memetik laporan Awani hari ini, beliau menegaskan sudah banyak kali UMNO melemparkan perkataan tiga jahanan kepada pemimpin PAS.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media selepas program Keluarga Malaysia peringkat Parlimen Kota Bharu, hari ini.

Sebelum ini, Zawawi dalam ucapan pada PAU baru-baru ini menggelar tiga pemimpin PAS sebagai tiga jahanam.

Pemimpin yang dimaksudkan Zawawi itu ialah Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang; Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dan Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.

Ketiga-tiga individu berkenaan dakwa Zawawi, sebagai bermulut jahat menyebabkan UMNO tidak boleh mengadakan kerjasama selagi individu berkenaan berada dalam PAS.

Sementara itu, Takiyuddin berkata PAS tetap komited untuk memperkasakan MN selain mempertahankan PN.

“PAS jelas masih konsisten penyatuan ummah dengan memperkasakan MN dan mempertahankan PN… kedua duanya penting untuk penyatuan ummah, tak kiralah orang kata apa,” tegas beliau.

BERITA BERKAIT
POPULAR