PAS terima jemputan UMNO hadiri PAU

Kredit foto Facebook Tuan Ibrahim

PAS mengesahkan akan menerima jemputan untuk menghadiri Perhimpunan Agung UMNO pada hujung minggu ini dan ia disahkan oleh Timbalan Presidennya sendiri, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man hari ini.

Tuan Ibrahim berkata perkara tersebut sudah dipanjangkan kepada Presiden parti, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang juga bersetuju untuk menghadiri perhimpunan parti tersebut.

“Presiden PAS (Abdul Hadi Awang) dan saya telah menerima jemputan untuk menghadiri Persidangan Agung Umno pada 28 Mac ini. Insya-Allah, akan hadir.

“Semoga penyatuan ummah yang menjadi teras Muafakat Nasional akan terus diperkukuhkan,” katanya.

Hubungan kedua-dua rakan parti tersebut menjadi polemik susulan keputusan UMNO yang secara terbuka menyatakan keengganan untuk bekerjasama dengan Parti Bersatu yang bersama-sama membentuk kerajaan Perikatan Nasional (PN) di Putrajaya sebelum ini.

PAS dan UMNO sebelum ini menjalinkan kerjasama dengan membentuk gabungan yang dikenali sebagai Muafakat Nasional (MN), bagaimanapun kemudiaannya menyertai gabungan PN bersama Bersatu dibawah pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Usaha untuk mendaftarkan MN sebagai satu gabungan juga gagal susulan keputusan PAS untuk bersama menyertai gabungan PN yang dipimpin Muhyiddin.

Terdahulu, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata parti itu telah menghantar surat undangan kepada Abdul Hadi dan Tuan Ibrahim pada 3 Mac lalu.