
Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang.
PAS sekali lagi mengulangi pendirian menolak sebarang agenda politik sempit dan mempunyai wawasan yang terhad, sebaliknya sedia berbincang dengan mana-mana pihak untuk kembali menegakkan perjuangan Islam dengan ikhlas.
Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata PAS sedia berbincang dengan semua pihak yang menunjukkan tanda-tanda keikhlasan untuk mencari jalan penyelesaian supaya kembali kepada Islam.
“Hal ini sangatlah penting bagi mengatasi masalah umat yang besar, bukan sekadar agenda politik yang sempit, jangka masa pendek dan tidak beristiqamah bersama Islam.
“Kini, kita sudah merdeka daripada penjajah asing, tetapi masih dijajah fikirannya. Janganlah sekali lagi kita mengulangi kesilapan yang lalu.
“Maka, Parti Islam Se-Malaysia (PAS) memperkenalkan pendekatan mengikut petunjuk al-Quran tersebut berkonsepkan Keluarga Malaysia Masyarakat Majmuk.
“Kami menolak sebarang agenda perpaduan kaum yang sempit dan mempunyai wawasan yang terhad,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Utusan Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah bertaraf duta itu mengingatkan negara dan rakyat akan mudah dijajah sekiranya perpecahan berlarutan.
Abdul Hadi berkata penjajah menerapkan polisi pecah dan perintah yang akan menyebabkan tanah air serta rakyat hilang jati diri dan kuasa politik, ekonomi serta pendidikan.
“Perpecahan yang berlaku menyebabkan kelemahan umat sehingga menghilangkan kuasa politik mereka, setelah tanah air mereka dirampas dan dijajah oleh musuh akibat tidak ditangani dengan penuh kesabaran,” katanya.
Sebaliknya Ahli Parlimen Marang itu berkata pengaruh konsep perpaduan umat yang diperkenalkan oleh Islam berjaya menarik perhatian masyarakat yang tertindas di seluruh pelosok dunia, termasuk di negara besar pada zamannya.
“Sehingga Islam itu dianggap bahaya oleh pihak berkuasa yang zalim, kerana akhlak penganutnya dan adil pemerintahnya bukan kerana senjata dan ganasnya.
“Adapun kelemahan yang dihadapi oleh umat Islam pada zaman mutakhir disebabkan tidak beramal dengan petunjuk al-Quran. Sehingga umat Islam sendiri berpecah-belah dan tidak boleh membawa mesej Islam yang diwajibkan ke atas mereka,” katanya.