PAS tak boleh diperbodohkan politik sempit UMNO: Hadi Awang

UMNO masih lagi membawa pendekatan ‘asabiyyah Melayu yang hanya melibatkan UMNO dan PAS sahaja serta meminggirkan sahabatnya sendiri daripada kalangan Bersatu, kata Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang.

Beliau juga berkata UMNO turut meminggirkan masyarakat majmuk yang telah gagal melalui pendekatan Barisan Nasional (BN) yang sudah tidak relevan lagi hari ini.

“Semua mengetahui mengapa UMNO mahukan PAS sahaja dan PAS sekali-kali tidak boleh diperbodohkan dalam politik yang sempit.

“Adapun UMNO yang tersungkur di Singapura pula terus berkubur di sana, dan tersingkirnya Singapura daripada bersama Malaysia merupakan dosa UMNO.

“Namun, PAS tidak pernah sekali-kali berputus asa untuk menyelamatkan keadaan, walaupun beberapa kali bersama UMNO yang masih lagi tidak insaf terhadap kesilapannya, tetapi masih mahu memaksa PAS dengan pendekatannya yang salah,” katanya hari ini.

Ahli Parlimen Marang itu berkata sudah terang lagi bersuluh hari ini bahawa PAS mahu mengembalikan UMNO ke pangkal jalan perpaduan umat Melayu dan Islam mengikut acuan Islam.

Pada masa yang sama, tidak meninggalkan mana-mana golongan yang tercicir dan bersama masyarakat majmuk dalam gagasan Perikatan Nasional (PN) dan Muafakat Nasional (MN) bersama Bersatu, katanya.

Abdul Hadi mengingatkan bahawa dalam pendekatan yang berjaya menjatuhkan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini, PAS terlebih dahulu mengadakan hubungan dengan Bersatu yang ketika itu masih berada dalam kerajaan, sebelum UMNO turut bersama selepas Pilihan Raya Umum ke-14 baru sahaja berlangsung.

“Demikian itu disebabkan oleh kedudukan sebahagian pemimpin Bersatu sebelumnya bersama UMNO yang bertindak keluar daripada parti itu, ketika UMNO sedang bermasalah dalam pentadbiran kerajaannya sehingga jatuh kerajaan itu.

“PAS menolak tawaran untuk bersama PH yang salah hala tujunya. Malah, tidak bersama UMNO melalui pendekatan BN yang telah bocor bahteranya kerana PAS tidak mahu tenggelam bersama mereka.

“Walaupun terdapat segelintir ahli PAS yang digoda supaya mengubah ‘road map’ dan hala tuju PAS, namun yang tergoda itu akan kembali ke pangkal jalannya, atau terpelanting jatuh disambar jerung, atau tenggelam dalam gelombangnya sepertimana mereka yang pernah melakukannya dahulu,” katanya.

Kenyataan lengkap di ruang Rencana

BERITA BERKAIT
POPULAR