
Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat Nik Mohamad Abduh Nik Aziz.
PAS menyokong pelanjutan penguatkuasaan Subseksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA) selama lima tahun lagi kerana akta itu tidak bercanggah dengan syariat Islam.
Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat Nik Mohamad Abduh Nik Aziz berkata SOSMA tidak terkeluar daripada landasan Islam malah dilihat lebih baik berbanding Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) 1960 jika dinilai dari aspek penggubalan.
Menurutnya, tempoh tahanan di bawah ISA sebelum ini menjangkau sehingga 60 hari, berbanding SOSMA yang hanya membenarkan penahanan seseorang individu kepada 28 hari.
“Saya sebut bahawa SOSMA itu tidak bercanggah dengan agama kita (Islam) kerajaan boleh teruskan dan Pas bagi sokongan.
“Cuma apa-apa salah guna kuasa yang disebut atau dirungut oleh rakyat, kerajaan mesti mendengar. Saya menyokong semua rungutan yang disebut semua,” katanya menurut Utusan.
Ahli Parlimen Bachok mengakui, sebelum ini Pas membantah ISA dan SOSMA kerana kedua-duanya dilihat mempunyai unsur salah guna kuasa.
“Selepas ISA dimansuhkan dan SOSMA telah dibaiki terutama dia sebut bahawa tidak ada lagi kes-kes yang melibatkan orang politik, maka kita tengok balik usaha kerajaan untuk mengekalkan SOSMA ini ada alasannya yang kukuh.
“Jadi sokongan pas kepada pelanjutan SOSMA ini dibuat kerana ia jauh berbeza dengan ISA,” katanya.
Nik Mohamad Abduh berharap kerajaan mampu memperbaiki SOSMA dari semasa ke semasa.
Selasa lalu, Dewan Rakyat meluluskan usul untuk melanjutkan SOSMA untuk tempoh lima tahun lagi.
Usul itu diluluskan selepas keputusan undian belah bahagian menunjukkan 111 Ahli Parlimen menyokong, manakala 88 Ahli Parlimen tidak menyokong dan 21 Ahli Parlimen tidak hadir.