
Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang ketika ditemui pemberita selepas menyampaikan kuliah duha di Masjid Rusila di Marang, hari ini 22 Julai 2022.
Kepemimpinan PAS bersetuju menggunakan logo baharu Perikatan Nasional (PN) yang baharu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) akan datang, selain tidak berganjak dengan agenda perpaduannya.
Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata walaupun masih pada peringkat perbincangan, parti itu secara umumnya bersetuju menggunakan logo baharu PN.
Sebelum ini, wujud cadangan PN untuk menggunakan logo dan warna baharu pada PRU-15 bertujuan mengelak kekeliruan penyokongnya.
Perkara tersebut dilaporkan telah dibincangkan pimpinan tertinggi gabungan itu, selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor, apabila mendapati ada sebahagian penyokong mereka keliru antara warna PN dan BN.
Mengulas lanjut, Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang, berkata isu penggunaan logo dan warna baharu itu akan dibincangkan lagi oleh gabungan itu.
Bercakap kepada media selepas solat Jumaat di Masjid Rusila di Marang hari ini, beliau juga menegaskan PAS masih berharap dapat menyertai PRU-15 menerusi kerjasama dalam PN dan Muafakat Nasional (MN).
Parti itu, katanya, tidak berganjak daripada agenda perpaduan ummah di negara ini.
“Kita tidak berganjak dengan agenda perpaduan ummah dan kerjasama dengan MN masih diteruskan,” katanya.
Mengenai pengagihan kerusi sebagai persiapan menghadapi PRU-15, Abdul Hadi berkata, rundingan pengagihan kerusi sentiasa dibincang dari semasa ke semasa.
“Walaupun tarikh PRU belum diumumkan, tetapi perbincangan termasuk persediaan menghadapi PRU sentiasa dibincang,” katanya.