
Naib Presiden PAS yang juga Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.
PAS menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk menyiasat dakwaan UMNO dan Pakatan Harapan (PH) bahawa parti itu memberi wang kepada pengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) lalu.
Naib Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata pimpinan politik yang mendakwa PAS memberi wang kepada pengundi disaran membuat laporan bagi memudahkan pihak berkuasa melakukan siasatan.
“Pandangan saya mengenai pelbagai isu berkaitan dengan dakwaan PAS memberi wang kepada pengundi, sama dengan kenyataan beberapa pemimpin termasuk Presiden Tan Sri Abdul Hadi Awang.
“Kita serahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk menyiasat dakwaan berkenaan,” katanya kepada media ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Apreasasi Penerima Biasiswa YT – TI Young Talent Scholarship, di Kuala Terengganu, hari ini (25 Januari 2023).
Sebelum ini, perbuatan sedekah ketika kempen pilihan raya menjadi isu apabila Abdul Hadi menyebut bahawa, undang-undang pilihan raya tidak membenarkan calon dan wakil calon memberikan sumbangan kepada pengundi.
“Tetapi jika ada individu atau orang awam yang hendak memberikan sumbangan, terpulang kepada mereka sendiri. Ada pun sumbangan orang awam itu tiada kaitan dengan calon, wakil calon atau PAS sebagai sebuah parti yang bertanding,” katanya.
Susulan kenyataan Abdul Hadi itu, Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang kini sedang membela diri terhadap 47 pertuduhan jenayah, termasuk rasuah, membidasnya sambil berkata “Kalau dia (PAS) buat dipanggil sedekah, kalau kita (UMNO) buat dipanggil rasuah”.
Bagaimanapun, kenyataan Zahid itu dibidas pula oleh Ketua Pemuda PAS Ahmad Fadhli Shaari, dengan meminta Timbalan Perdana Menteri kerajaan PH-BN itu membeli cermin, untuk melihat diri sendiri dahulu.