
Setiausaha Agung PAS Datuk Seri Takiyuddin Hassan.
PAS menafikan sebuah kenyataan palsu yang sedang tular dengan mendakwa sokongan terhadap Presiden parti itu untuk menjadi Perdana Menteri.
Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan menyifatkan kenyataan palsu tersebut sebagai tidak benar dan mendakwa ia tiada kaitan dengan mana-mana pihak yang mengeluarkan kenyataan bertajuk ‘Sokongan Terhadap YB Tan Sri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, Ahli Parlimen Marang Sebagai Perdana Menteri Malaysia’.
“Kenyataan media yang sedang tular masa ini adalah palsu dan tiada kaitan dengan mana-mana pihak disebutkan,” katanya menerusi Facebook.
Sebelum ini, satu kenyataan media yang didakwa dikeluarkan oleh Takiyuddin tular di media sosial, antara lain memanjatkan kesyukuran kerana PAS akan diterima mengadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah esok.
Menurut kenyataan itu, ia didakwa bagi mempersembahkan surat akuan bersumpah daripada 115 Ahli Parlimen untuk memberi sokongan kepada Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang sebagai Perdana Menteri.
“PAS yakin dengan memiliki kepemimpinan serta ilmu yang tinggi beliau mampu memimpin Malaysia menjadi sebuah negara bertamadun dan disegani tanpa mengenepikan nilai-nilai Islam.
“PAS meminta rakyat untuk terus memberi sokongan terhadap kerajaan pimpinan ulama yang bakal dibina supaya tidak lagi berlaku sebarang pergolakan politik dan perebutan kuasa seperti yang sering ditimbulkan oleh Pakatan Harapan,” kata kenyataan yang tular.