PAS macam bayang, minta UMNO payungi tapi berlagak dominan: Nur Jazlan

UMNO Bahagian Pulai akan membawa usul memutuskan hubungan dengan PAS dan membubarkan Muafakat Nasional (MN) kerana bosan dengan sikap parti Islam itu yang berlagak seolah-olah menjadi parti dominan.

Ketuanya, Datuk Nur Jazlan Mohamed menyindir PAS seolah-olah mahu menjadi ‘abang besar’ sedangkan parti itu kalah di semua kerusi yang ditandingi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka 20 November lalu.

Malah beliau turut menyifatkan PAS hanya seperti bayang-bayang yang meminta perlindungan daripada UMNO.

Memetik laporan Utusan hari ini, Nur Jazlan berkata usul itu akan dibuat setelah bosan didesak PAS yang lagaknya seperti parti lebih dominan berbanding UMNO sedangkan tewas semua kerusi ditandingi pada PRN Melaka.

“PAS ini saya cukup hairan kerana seolah-olah dia parti dominan di negara kita, walhal UMNO adalah parti yang dominan. PAS mahu bersama UMNO kerana mahu kita memayungi mereka sedangkan mereka tidak mahu ikut keputusan kita.

“Sebagai contoh, berhubung kerjasama dengan Bersatu. PAS seharusnya ikut keputusan UMNO. Oleh itu, UMNO Bahagian Pulai akan mengusulkan untuk kita putuskan hubungan dengan PAS dan bubarkan MN.

“Ini mengambil kira MN bukan sebagai sebuah gagasan politik yang diperlukan UMNO,” katanya sembil menjelaskan usul itu akan dibentang pada Mesyuarat UMNO Bahagian Pulai, 18 Disember ini.

Beliau yang juga Timbalan Pengerusi UMNO Johor menuduh PAS tidak jujur bersama UMNO di dalam MN, selain terbukti tidak mempunyai kekuatan.

“PAS juga tidak jujur selain terbukti tiada kekuatan apabila kesemua calonnya tewas ketika PRN Melaka baru-baru ini,” katanya.

Kenyataan Nur Jazlan itu sekali gus menunjukkan UMNO menjadikan PRN Melaka untuk melihat sejauh mana kekuatan PAS serta sokongan yang mampu diperoleh dalam politik tanah air sekarang ini.

Ternyata kekalahan semua calon PAS pada PRN Melaka itu memberi petunjuk kepada UMNO bahawa parti Islam berkenaan tidak sekuat mana, sebab itu Majlis Tertinggi (MT) UMNO turut mendesak Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) diadakan segera.

Mengulas lanjut, Nur Jazlan juga menasihatkan PAS supaya berhenti daripada mencanangkan agenda perpaduan bangsa dan Islam, sekiranya enggan patuh kepada UMNO yang menjadi parti dominan.

“Ini kerana agenda itu hanyalah sebagai platform buat PAS untuk mendapatkan sokongan umum. Jika PAS tidak mahu terima keputusan UMNO, kita putuskan sahaja hubungan. Sebelum ini pun kita tahu yang MN ini bukan gagasan politik yang rasmi, ia hanya rekaan untuk menyatukan dua parti.

“PAS juga hanya seperti bayang-bayang yang minta perlindungan UMNO memayungi parti itu. PAS tidak layak untuk menentukan hala tuju UMNO dan jika parti itu mahu bergerak bersama Bersatu, MN seharusnya dibubarkan sahaja,” katanya.

BERITA BERKAIT
POPULAR