
Low Lee Leong dilantik sebagai pegawai khas hal ehwal bukan Melayu kepada Pesuruhjaya PAS Selangor Datuk Dr Mohd Yunus Hairi.
PAS Selangor telah melantik seorang bukan Islam sebagai pegawai khas kepada pesuruhjaya parti itu Datuk Dr Mohd Yunus Hairi, kata Setiausaha Perhubungan PAS negeri, Roslan Shahir Datuk Mohd Shahir.
Beliau berkata Low Lee Leong telah dilantik sebagai pegawai khas hal ehwal bukan Melayu kepada Pesuruhjaya PAS negeri untuk membantu beliau mendekati orang bukan Melayu.
“Beliau akan membantu Dr Ahmad Yunus dalam membina hubungan dengan masyarakat bukan Melayu di Selangor, badan bukan kerajaan serta badan berkaitan yang mewakili kaum Cina, India dan bukan Melayu lain,” kata Roslan.
Tambahnya, PAS sedar bahawa Selangor adalah sebuah negeri yang terdiri daripada pelbagai kaum dan budaya dengan hampir 39 peratus penduduknya bukan Melayu dan bukan Bumiputera.
“Justeru, pelantikan itu bagi membuka jalan kepada kami (PAS) untuk berkhidmat dan mewakili kepentingan semua orang di negeri ini,” kata Roslan.
Beliau menambah pelantikan Low juga akan membantu menonjolkan imej dan perspektif sebenar PAS kepada masyarakat bukan Melayu di Selangor.
Menurut Roslan, ia diharap dapat membantu orang bukan Melayu untuk lebih memahami PAS supaya mereka tidak teragak-agak untuk mengundi parti itu dan Perikatan Nasional pada pilihan raya negeri (PRN) akan datang.
Tindakan PAS mencerminkan motivasi parti itu berikutan prestasi baiknya dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 baru-baru ini.
Parti Islam itu berjaya merampas kerusi Kuala Langat, Kapar dan Hulu Selangor daripada Pakatan Harapan.
Roslan pernah menyatakan dalam temu bual sebelum ini bahawa PAS mendapat banyak sokongan daripada pengundi muda dan kerana itu, parti itu berkemungkinan berjaya di kerusi yang terletak di kawasan Melayu.
Low, yang berkelulusan dalam bidang kejuruteraan aeronautik, menyertai kelab penyokong PAS sebagai ahli seumur hidup pada 2013.