PAS kena bijak buat perkiraan sebelum tukar jajaran politik: Ahmad

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan.

PAS digesa membuat perkiraan politik bijak dan mengkaji secara tajam terlebih dahulu sebelum membuat sebarang keputusan sama ada menukar jajaran politik mereka atau kekal bersama Muafakat Nasional (MN).

Gesaan tersebut dinyatakan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan yang mahu PAS melihat senario politik semasa dan kedudukan kerusi yang mereka berpeluang menang sebelum sebarang ketetapan dibuat oleh parti Islam tersebut dalam menentukan hala tuju politik mereka.

“Saya kira PAS akan buat keputusan bijak berdasarkan angka kajian politik. Sebagai contoh, Bersatu ada enam kerusi (asal Parlimen). Sebanyak 10 kerusi mereka (datangnya) daripada PKR campur tiga (wakil rakyat lompat parti). Mereka tidak masuk PN (Perikatan Nasional) pun, cuma menyokong sahaja.

“Sebanyak 15 kerusi Parlimen Bersatu pula berasal daripada kerusi UMNO. PAS mesti buat kajian ini. 15 kerusi itu kami mahu semula. Jadi tinggal berapa (kerusi Parlimen Bersatu)? Enam (kerusi asal) campur 10 (kerusi bekas ahli Parlimen PKR yang keluar parti),” kata Ahmad yang dipetik berkata dalam Sinar Harian.

Ahmad kemudiaan mempersoalkan peluang untuk Bersatu memenangi semula 10 kerusi mereka sebelum ini semasa bersama dalam gabungan Pakatan Harapan memandangkan sokongan mereka peroleh adalah daripada pengundi kaum Cina dan bukannya daripada kaum Melayu ketika itu.

“Sepuluh kerusi itu boleh menang lagi ke? Sepuluh kerusi itu menang kerana sokongan masyarakat Cina ketika mereka berada dalam PH. Jadi Bersatu tinggal berapa? Enam agaknya? UMNO 55, tentu PAS tahu angka-angka ini,” katanya lagi.

Menurutnya lagi, PAS sudah semestinya bijak dalam membaca angka-angka ini sebelum mereka membuat sebarang keputusan untuk sama ada kekal bersama MN atau PN.

“Jadi tentunya Pas bijak membaca angka-angka ini. Ramai orang bijak pandai dalam Pas, sudah tentu mereka membuat perkiraan politik yang tajam dalam membuat keputusan,” katanya.

POPULAR