
Orang ramai yang hadir pada Ijtimak Jentera Pilihan Raya PAS yang berlangsung di pekarangan pentas utama Kompleks PAS Kedah di Simpang Empat, dekat Alor Setar, malam tadi, 3 September 2022. - Gambar FB PAS
PAS akan memastikan kedudukannya dalam Kerajaan Pusat bukan sahaja akan terus kekal selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) akan datang, tetapi akan menjadi lebih kukuh.
Untuk itu, Naib Presidennya Datuk Mohd Amar Abdullah berkata bagi memperkuatkan kedudukan di Putrajaya PAS perlu menambah jumlah kerusi Parlimen.
“Kita kena bekerja bersungguh-sungguh supaya kita mesti menang tidak kurang 40 kerusi di Parlimen.
“Insya-Allah kita dapat menjayakan cita-cita perjuangan yang telah lama kita bawa di Malaysia,” katanya ketika memberi arahan pada majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya PAS, di Kompleks PAS Kedah, di Simpang Empat dekat Alor Setar, malam tadi.
Hadir sama Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang; Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man; Naib Presiden PAS, Senator Datuk Idris Ahmad dan Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan serta Ketua Pengarah Pilihan raya PAS Pusat merangkap Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.
Menurutnya dalam tempoh dua tahun lebih, PAS buat pertama kali telah menjadi sebahagian daripada Kerajaan Persekutuan selepas meninggalkannya pada 1977.
“Pada zaman moden ini, pertama kali kita menjadi sebahagian daripada Kerajaan Pusat walaupun dengan jumlah yang kecil. Jadi kita kena pastikan supaya keberadaan pada peringkat Pusat ini akan terus kekal.
“Ibarat orang yang berjalan, kita terus melangkah ke hadapan dan kita tidak boleh undur ke belakang… terus melangkah supaya kedudukan kita kekal dan menjadi semakin kukuh,” katanya.
Mengulas lanjut, Mohd Amar yang juga Timbalan Menteri Besar Kelantan, berkata misi PAS pada PRU-15 juga adalah untuk mempertahankan kemenangan di Kelantan, Terengganu dan Kedah serta memperluaskan pengaruh di negeri-negeri lain.
“Untuk memastikan kita boleh kekal dan bertambah kerusi di Parlimen kita kena pastikan tiga negeri terbabit boleh kita pertahankan dan menang bergaya di samping meningkatkan pencapaian kita di Pahang dan di negeri lain
“Boleh jadi bagi setengah orang merasa perkara ini sukar dan mustahil tetapi kita diajar di dalam agama tidak ada yang mustahil pada zat Allah SWT,” katanya.