PAS gesa tindakan tegas terhadap penyokong tegar Anwar hina Agong

PAS menempelak tindakan penyokong tegar Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Iswardy Morni yang menghina Yang Di-Pertuan Agong (YDPA) Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, menerusi siaran secara langsung di Youtubenya baru-baru ini.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Kamaruzaman Mohamad berkata institusi di-Raja adalah perkara yang mesti dipertahankan dan PAS menggesa supaya Iswardy dikenakan hukuman tegas.

“Hukuman tegas ini, agar ia menjadi pengajaran kepada seluruh rakyat Malaysia yang ingin hidup dalam keadaan sejahtera,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, Iswardy yang juga Pengerusi Pro-Keadilan Sarawak mengeluarkan kenyataan berbaur hasutan dan menghina Yang di-Pertuan Agong.

Ahli PKR berdaftar di cabang Petra Jaya, Sarawak itu secara sinis dengan berniat jahat menyindir Raja Permaisuri dan mendakwa Al-Sultan Abdullah tidak mengambil sebarang tindakan ketika krisis pandemik Covid-19 kerana mahu melihat rakyatnya meninggal dunia.

Susulan tindakannya itu polis kini telah menahannya di rumahnya di Kajang, susulan laporan yang diterima berhubung perkara itu.

Dalam pada itu menjawab hinaan Iswardy yang mendakwa Yang di-Pertuan Agong tidak melakukan apa-apa langkah mendepani Covid-19, Kamaruzaman berkata ia adalah perbuatan melampau serta tidak berasas.

“Beberapa langkah telah dilaksanakan YDPA bagi negara mengharungi wabak antaranya menyelesaikan polemik politik dengan mengutamakan urusan Covid-19 berbanding membawa negara ke kancah politicking,” katanya.

Dalam pada itu beliau mengimbas kembali dalam 22 bulan Pakatan Harapan memerintah, Raja-Raja Melayu dihina secara terbuka.

“Media sosial menjadi platform utama untuk menghamburkan cacian sebagai agenda mereka menyamaratakan seterusnya menghapuskan institusi raja.

“Kini agenda tersebut diteruskan oleh konconya malah tidak pun mendapat kecaman oleh pemimpin PH,” tegasnya.

BERITA BERKAIT
POPULAR