
Naib Presiden PAS Datuk Idris Ahmad.
Pendirian PAS bekerjasama dengan kerajaan campuran disebabkan tidak mahu menjadi seperti UMNO yang kini sudah “Yes DAP”, kata Datuk Idris Ahmad.
Naib Presiden PAS itu berkata prinsip perjuangan parti adalah lebih penting daripada mahu menggadaikan maruah demi jawatan seperti yang dilakukan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang dilantik menjadi Timbalan Perdana Menteri (TPM) selepas bekerjasama dengan DAP.
“Berkawan (dengan DAP) dulu pun kita namakan tahaluf, bukannya walak. Tahaluf ini hanyalah ‘smart patnership’ dalam isu tertentu, antaranya menentang Akta Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 (ISA) ketika itu.
“Ia (kerjasama) dengan syarat iaitu jangan ganggu prinsip yang PAS mahu bawa, selain kita tahu dia (DAP) punya dasar dan sebagainya. Namun, bila sampai tahap (prinsip) PAS pun kamu mahu ganggu, kita ‘withdraw’ (tarik diri).
“Kita kalau mahu menang, perlu ada prinsip. Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lagi kita boleh jadi ‘yes man’ DAP, apa dia hendak kita ikutkan semua, kemudian PAS boleh ikut jadi kerajaan dengan dia.
“Namun, kita tahu dan bersedia berdepan kekalahan ketika memasuki gelanggang PRU14. Alhamdulillah kerana prinsip kita, biar kita kalah tidak rebah, menang tidak megah,” katanya dipetik laporan BH selepas Ceramah Mega PN Best di Tasek Gelugor malam tadi.
Untuk rekod, UMNO selepas bekerjasama dengan DAP dalam kerajaan campuran menyaksikan Zahid dilantik sebagai TPM walaupun berdepan 47 kes rasuah di mahkamah.
Idris semasa program tersebut mengulas gesaan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail yang juga Setiausaha Agung Pakatan Harapan (PH) supaya PAS mengemukakan dalil al-Quran dan hadis yang melarang parti Islam itu daripada menjalin kerjasama dengan DAP.
Saifuddin Nasution, dipetik berkata pendirian terkini PAS itu bertentangan ketetapan mengenai kerjasama dengan DAP selama 14 tahun, antara 1999 hingga 2013.
Malah, katanya, kedua-dua parti itu sepatutnya terus bekerjasama jika keputusan bagi tujuan demikian diputuskan berpandukan kaedah Islam.
Dalam perkembangan lain, Idris yang juga bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu berkata, PAS optimis mengulangi kemenangan Perikatan Nasional (PN) ketika PRU15 pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Pulau Pinang.
“Insya-Allah dengan mood yang ada ketika ini, kita mengharapkan momentum ini dapat dikekalkan sehingga 12 Ogos nanti,” katanya.