
Setiausaha Agung PAS Datuk Seri Takiyuddin Hassan.
PAS menegaskan parti itu masih merundingkan kerjasama politik dengan UMNO, walaupun parti berteraskan Melayu itu menafikan secara terbuka sebarang usaha sedemikian bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Setiausaha Agung PAS Datuk Seri Takiyuddin Hassan enggan menyatakan kumpulan di dalam UMNO yang sedang berunding dengan parti Islam itu bagaimanapun, hanya berkata mereka mempunyai pendirian untuk berbuat demikian.
“Pemimpin (yang bercakap dengan PAS) mempunyai jawatan dan kedudukan untuk mengendalikan perbincangan,” katanya selepas Muktamar Tahunan Ke-68 di Kompleks PAS Kedah di Simpang Empat, dekat Alor Setar, semalam.
Jumaat lalu (2 September 2022), Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi secara terbuka sekali lagi menolak kerjasama yang ditawarkan PAS bagi menghadapi pembangkang pada PRU-15 akan datang.
Kenyataan beliau hari ini bukan pertama kali dibuat, malah ianya sudah berkali-kali ditegaskan bahawa UMNO dan Barisan Nasional (BN) akan bergerak solo pada PRU-15, namun pemimpin PAS dan sesetengah pemimpin UMNO negeri masih mengharapkan kerjasama itu terbentuk.
Zahid menuduh PAS sendiri sentiasa bermain selamat dan mandi dalam beberapa kolam menyebabkan UMNO membuat keputusan untuk bergerak solo pada PRU-15.
Semalam pula, Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan berkata tiada sebarang rundingan oleh mana-mana pemimpin UMNO dengan PAS ketika ini seperti didakwa Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang.
Beliau berkata UMNO dan Barisan Nasional (BN) setakat ini telah membuat keputusan untuk bertanding secara solo.
“Tidak tahulah beliau berunding dengan siapa tetapi dengan saya memang tiadalah. Janganlah kita mahu mengadu domba parti orang lain, jaga parti sendiri. Saya jaga parti saya, beliau jaga parti beliau. Apa sahaja perundingan, mesti telus, jangan berunding dalam gelap, tidak boleh begitu,” katanya
Menolak kenyataan Mohamad, Takiyuddin berkata politik tidak terhad kepada perbincangan rasmi sahaja, malah harus memenuhi kehendak dan keperluan ahli akar umbi.
“Saya rasa Timbalan Presiden UMNO sendiri mengaku ada masanya ada pandangan dari pimpinan PAS kita boleh bincang kerusi tertentu, kerusi yang mungkin dimenangi pihak ketiga, PAS dan UMNO boleh berbincang untuk berunding.
“Mungkin tidak ada pertembungan di mana pihak ketiga menang,” katanya.
Terdahulu, Abdul Hadi berkata kemungkinan rundingan antara PAS dan UMNO melalui Muafakat Nasional (MN) masih terbuka dan sedang berjalan melibatkan golongan lepasan dan akar umbi kedua-dua parti.