PAS arah ahli seluruh negara munajat supaya PN capai kemenangan

Kepemimpinan PAS telah mengeluarkan arahan kepada semua ahlinya di seluruh negara supaya bermunajat kepada Allah supaya memberi kemenangan kepada Perikatan nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, esok.

Timbalan Presiden PAS Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata bermunajat dan berdoa kepada Allah adalah langkah terakhir setelah semua usaha dilakukan oleh gerak kerja untuk memastikan kemenangan PN pada pilihan raya itu.

Berucap pada Pentas Presiden Perikatan Nasional di Bilik Gerakan Zon Utara, di Pusat Perniagaan Pagoh Jaya, Pagoh, malam ini, beliau juga memberitahu bahawa dalam kalangan ahli Dewan Ulama PAS Pusat juga senantiasa bersolat hajat supaya PN mencapai kejayaan.

“Pemimpin dan ahli PAS bermunajat tiap-tiap malam semoga Allah Taala memberi kesabaran, ketabahan hingga kita (PN) mencapai kemenangan,” katanya.

Tuan Ibrahim juga mengingatkan sehebat mana pun negara, tetapi jika sifat kemanusiaannya telah hancur, maka ia tidak bermakna kepada negara tersebut.

“Dan kita harus faham bahawa orang ramai akan hidup mengikut corak hidup pemimpin. Pemimpin menentukan hala tuju. Ke mana kita nak bawa negeri Johor ini.

“Hebat macam mana sekali pun… kaya macam mana negara, besar macam mana negara… maju macam mana sekalipun, kalau berlaku rasuah, penyelewengan, korupsi, maka dia sebenar sedang menuju kehancuran,” katanya.

Ahli Parlimen Kubang Kerian itu turut terpegun melihat sambutan amat menggalakkan rakyat dan bangsa Johor kepada PN ketika berkunjung ke seluruh negeri itu ketika kempen PRN diadakan.

“Saya turun ke 100 kawasan di Johor dalam tempoh kempen PRN… saya nak beritahu, respond rakyat sangat positif kepada Perikatan Nasional.

“Saya jumpa masyarakat Orang Asli berjumpa dengan Tok Batin mereka, saya jumpa dengan pengundi-pengundi Tionghua, saya jumpa juga pengundi-pengundi India… di samping pengundi Melayu.

“Saya dapati mood rakyat sekarang di mana-mana mereka ingin tunggu saat bagi mengangkat dan menobatkan kemenangan Perikatan Nasional insya-Allah,” katanya pada majlis yang turut dihadiri Pengerusi PN Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Cuma, Tuan Ibrahim mengingatkan bahawa PRN ini ibarat bermain bola, selagi wisel penamat tidak ditiup selagi itu kita belum boleh meraikan kemenangan.

Katanya dalam tempoh kempen PRN Johor beliau melihat hubungan kerjasama antara PAS, Bersatu dan Gerakan amat erat dan cukup hebat bagi memenangkan calon-calon PN.

“Saya turun gerak kerja bersama-sama dengan rakan-rakan daripada parti Bersatu, Gerakan. Kali ini kita nampak hubungan kita sangat kuat.

“Dan mereka seronok bekerjasama hingga tak ada apa yang menjadi masalah di kalangan petugas-petugas parti kita apa yang penting kita harus akui bahawa dalam gerak kerja kita setelah kita berusaha dengan tenaga kita, ikhtiar dengan akal fikiran kita… kita berdoa mohon kepada Allah Taala meletakkan kemenangan kepada kita.

“Setelah kita laluinya kita serah kepada Allah Subhanahuwataala. Allah Taala mengajar kita ketentuan milik Allah… kemenangan merupakan pertolongan Allah. Tanpa pertolongan Allah tidak mungkin kita boleh mencapai kemenangan. Hebat kita macam mana sekalipun tanpa pertolongan Allah tidak akan mencapai kemenangan,” katanya.

BERITA BERKAIT
POPULAR