PAS alu-alukan siasatan pemalsuan dokumen, gesa siasat dalang PASLeak

Siasatan pihak polis bagi mengesan dalang yang terlibat dalam penularan dokumen palsu PASLeak adalah dialu-alukan, kata Ahli Jawatankuasa Pusatnya, Datuk Ahmad Amzad Hashim.

Amzad yang juga Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi menyarankan siasatan yang teliti dan mendalam bagi mencari pihak terlibat menularkan dokumen tidak sahih tersebut yang disifatkan cuba memecahbelahkan agenda perpaduan yang dibawa PAS.

Bagaimanapun, Amzad memberitahu setakat ini pihak berkuasa masih belum memanggil mana-mana pemimpin PAS berhubung dokumen palsu, PASLeak tersebut.

“Setakat ini kita tidak dimaklumkan ada antara pemimpin PAS sudah dipanggil selepas PDRM membuka kertas inkuiri untuk siasatan lanjut.

“PDRM juga disaran membuka kertas siasatan bagi menyiasat dan mengambil tindakan ke atas individu yang memalsukan dan menyebarkan dokumen berkenaan,” katanya dipetik laporan media.

Ahli Parlimen Kuala Terengganu itu juga berkata PAS bersedia memberi kerjasama dengan polis berhubung dokumen PASLeak tersebut yang dilihat sengaja memberi imej negatif terhadap parti mereka.

“Kita mengalu-alukan tindakan tegas PDRM Kuala Lumpur untuk membuka kertas inkuiri bagi memudahkan siasatan dilakukan.

“Kita juga turut bersedia pada bila-bila masa untuk memberi keterangan jika dipanggil untuk membantu PDRM,” katanya lagi.

Beliau juga menegaskan PAS tidak mempunyai masa untuk membincangkan komplot seperti yang didakwa dalam PASLeak, sebaliknya tumpuan utama parti adalah memperkukuhkan perpaduan.

Pendedahan dokumen PASLeak didakwa mengandungi perancangan sulit untuk menjatuhkan pemimpin UMNO yang tular di media sosial sebelum ini.

Ia adalah beberapa keratan didakwa minit mesyuarat yang menggariskan pelan untuk menjatuhkan UMNO dan Barisan Nasional termasuk rancangan menyegerakan usaha untuk memasukkan Presiden, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi ke penjara.

BERITA BERKAIT
POPULAR