
Datuk Seri Johari Abdul Ghani.
Ruang demokrasi tidak wajar disekat dalam UMNO, malah sepatutnya semua jawatan dalam UMNO dipertandingkan pada pemilihan parti nanti.
Ahli Majlis Tertinggi (MT), Datuk Seri Johari Abdul Ghani membuat perbandingan dengan parti lain yang mengadakan pemilihan sebelum Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) tetapi masih berjaya memperoleh keputusan cemerlang, tetapi UMNO yang menangguhkan pemilihan pula mengalami kekalahan yang teruk dalam sejarah.
“Kita kena praktis dalam UMNO ini bahawa kita mesti beri kepada semua ahli kita peluang untuk membuat keputusannya. Kerana ini adalah ‘trainning ground’.
“Budaya mahu cerita jangan (tanding) sini, jangan (tanding) sana, tak boleh dah. Walaupun ada orang ikut, tapi dalam hati itu dia pun sebenarnya tak boleh nak ikut.
“Kita tengok parti lain, sebelum berdepan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), kita tangguh (pemilihan) 18 bulan, tak cukup itu, kita tambah lagi enam bulan selepas PRU.
“Tengok parti lain, PKR, DAP, PAS dia jalan (pemilihan) dulu, bergasak…dia bergasak juga, tapi akhirnya apa jadi? dia (Pakatan Harapan) menang 82 kerusi, PN ada partinya yang dapat 49 dari 74 kerusi Parlimen.
“(Dalam UMNO) Lawanlah…sebab ini parti punya hal, rakyat pun faham. Kalau kita pergi pemilihan parti di bahagian, mana ada gaduhnya, mereka pergi pangkah saja, yang bergaduh ini kalau kita tipu undi. Dia fikir calon dia menang, atau calon dia kalah, tapi boleh jadi menang, itu yang jadi gaduh, akhirnya tak puas hati,” katanya.
Johari dipetik berkata semasa program Bicara Ekslusif Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022 yang disiarkan menerusi Facebook hari ini.
Kenyataan Johari itu hadir di sebalik sidang media malam tadi yang mendakwa seramai 140 ketua UMNO bahagian menyokong supaya dua jawatan utama parti tidak dipertandingkan pada pemilihan yang akan diadakan sebelum 19 Mei depan.
Pengerusi Solidariti Ketua-Ketua Bahagian UMNO, Datuk Seri Dr Mohd Shafie Abdullah, dalam sidang medianya itu menjelaskan, ia sebagai persediaan menghadapi enam Pilihan Raya Negeri (PRN), sekali gus memerlukan solidariti semua pihak bagi menyokong kepemimpinan Presiden UMNO yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
“Sebenarnya tak jadi masalah kalau ikhlas (mahu bertanding), jangan main politik wang. Undi ini biar ahli kita belajar macam mana mengundi tanpa dipaksa mana-mana pihak.
“Kalau dia ini menang silakan terus (berkhidmat), esok kalau tak boleh lagi memimpin, bagi orang lain, sebab pemimpin datang dan pergi,” kata Johari yang juga Ahli Parlimen Titiwangsa.
Sementara itu, ketika ditanya pengacara program berkenaan sama ada beliau akan merebut jawatan tertentu dalam pemilihan kali ini, Johari memberi bayangan akan bertanding salah satu dari tiga jawatan tertinggi parti.
“Soal jawatan apa saya nak bertandig, kena tunggu bila pertandingan ini. Bila diumumkan pemilihan, nanti kita buatlah keputusan sama ada bertanding presiden ke, timbalan presiden ke, naib presiden ke, yang penting perkataan presiden itu ada.
“Kita kena semarakkan konsep berdemokrasi dalam parti. Kita kena buat benda ini sebelum kita berdepan dengan PRU 2027,” katanya yang sebelum ini pernah merebut jawatan Naib Presiden UMNO pada pemilihan parti 2018, namun tewas,” ujarnya lagi.