
UMNO kini menjadi rakan sekutu Pakatan Harapan.
UMNO dijangka menjadi pemenang dalam rundingan pembahagian kerusi bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor nanti.
Walaupun hanya memenangi empat kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) sebelum ini, namun selepas kemasukan UMNO bersama Pakatan Harapan (PH) menyebabkan senario politik semasa juga berubah.
Sebuah portal, MalaysiaNow melaporkan Parti Amanah akan menjadi korban dalam pembahagian kerusi di Selangor apabila UMNO dikatakan menuntut kerusi yang banyak terutamanya yang ditandingi mereka sebelum ini.
Dalam laporan tersebut, UMNO dikatakan menuntut kerusi komposisi majoriti Melayu di Selangor yang sebelum ini ditandingi Parti Amanah.
Alasan diberikan adalah Parti Amanah tidak mempunyai sokonga kukuh dikalangan pengundi Melayu berbanding UMNO, malah parti itu dianggap sebagai boneka kepada DAP sebelum ini.
“Sekurang-kurangnya dua individu yang rapat dengan kepimpinan Amanah berkata langkah itu mengesahkan kebimbangan terhadap cubaan untuk menggantikan parti itu – dilihat sebagai komponen “Melayu” dan “Islam” PH – dengan UMNO, musuh yang menjadi sekutu selepas memberi sokongannya dalam pelantikan Pengerusi PH Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri tahun lalu,” menurut laporan portal tersebut.
Berkemungkinan situasi sama juga akan berlaku dalam PRN di negeri lain seperti Kedah, Negeri Sembilan, Kelantan dan Terengganu.
“Jadi kepimpinan PH mesti memutuskan antara dua: rakan setianya Amanah atau rakan barunya Umno.
“Dengan Amanah masih gagal meraih sokongan daripada orang Melayu yang berfikiran pembangkang, terdapat petanda ia akan diketepikan untuk memberi laluan kepada UMNO,” kata seorang bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selangor yang dipetik dalam laporan portal itu.
Pada Pilihan Raya Umum (PRU-14) lalu, kecuali Hulu Kelang, Parti Amanah banyak menang di kawasan pilihan raya di mana pengundi Cina membentuk lebih daripada 20%, jumlah yang cukup untuk mempengaruhi keputusan yang memihak kepada PH.
Tetapi di Hulu Bernam, di mana orang Melayu yang membentuk 70% pengundi, Parti Amanah tewas kepada UMNO.
Barisan Nasional (BN) masih berjaya merebut empat kerusi di Selangor pada 2018, tahun gabungan itu ditumbangkan daripada kuasa Persekutuan.
Kemenangan BN berkemungkinan disebabkan perpecahan undi pembangkang antara PH dan PAS.
PAS kemudiannya enggan bergabung dengan PH, termasuk Bersatu yang muncul sebagai alternatif kepada penyokong UMNO yang tidak berpuas hati dengan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang terpalit skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Bagaimanapun, setakat ini rundingan kerusi antara PH dengan UMNO-BN masih berjalan dan belum mencapai kata putus berhubung jumlah kerusi yang akan dibahagikan sesama parti dalam kerajaan campuran.