Parlimen bubar tapi DUN 3 negeri kekal hingga habis penggal: PAS

PAS yang memerintah di tiga negeri – Kedah, Terengganu dan Kelantan – menegaskan tidak akan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) walaupun Kerajaan Pusat membubarkan Parlimen sebelum penggal berakhir tahun depan.

Setiausaha Agung PAS Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata PAS berpendapat tiada keperluan untuk mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) di ketiga-tiga negeri berkenaan.

“Mengikut Perlembagaan, sesuatu dewan itu tempohnya adalah sehingga lima tahun, bermula daripada hari pertama persidangan dewan tersebut. Kalau kita tengok dari tempoh Pilihan Raya Umum (PRU) ia belum lagi mencukupi tempoh empat tahun.

“Malah, memandangkan faktor negara masih dilanda wabak COVID-19, kita rasa tiada keperluan pun untuk ketiga-tiga negeri ini diadakan PRN. Itu keputusan kita, sebelum ini tidak timbul isu pembubaran, cuma akhir-akhir ini sahaja,” katanya memetik laporan Bernama hari ini.

Sementara itu, Takiyuddin juga menolak dakwaan bekas Ahli Parlimen PAS Kuala Nerus Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali bahawa, beliau tidak diberi peluang untuk memberikan pandangan dan pendapat terhadap parti.

Katanya Fasal 16 Perlembagaan parti menyatakan dengan jelas setiap ahli berhak memberikan pendapat dan pandangan kepada parti, bahkan termasuk kepada Presiden PAS.

“Adalah tidak benar seorang Ahli PAS apatah lagi ahli jawatankuasa kerja, pimpinan tertinggi, mengatakan dia tidak boleh memberikan pandangan kepada parti, memandangkan ini satu jaminan dalam Perlembagaan.

“Cuma isunya kalau kita tidak hadir ke mesyuarat macam mana kita nak bagi pandangan. Kalau kita hadir ke mesyuarat tetapi kita tidak bercakap macam mana kita boleh kata kita tidak diberi ruang untuk beri pendapat,” soal beliau.

Isnin lalu, Mohd Khairuddin mengumumkan pendiriannya keluar daripada PAS berkuat kuasa serta-merta.

BERITA BERKAIT
POPULAR