Panggilan telefon Anwar, Zahid kini hanya masuk ‘mel suara’

Usaha pihak media untuk mendapatkan komen Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi ketika ini hanya dijawab ke dalam ‘mel suara’ dan pesanan khidmat ringkas yang dihantar juga tidak berbalas.

Tidak diketahui sama ada kedua-dua pemimpin politik itu sudah menukar telefon ekoran penularan klip audio mirip suara mereka berdua.

“Sejak semalam dan hari ini panggilan kepada Anwar dan Zahid hanya masuk dalam ‘voicemail’ (mel suara).

“Saya sedang berusaha lagi untuk menghubungi mereka bagi mendapatkan sedikit maklumat berhubung laporan polis yang mereka katakan akan buat hari ini,” kata seorang wartawan arus perdana kepada Agenda Daily.

Beberapa rakan media memberitahu Agenda Daily mereka gagal untuk menghubungi kedua-dua pemimpin PKR dan UMNO itu bagi mendapatkan komen berhubung status laporan polis berhubung klip audio tular yang dikatakan akan dibuat pada hari ini.

Memetik laporan portal MalaysiaNow, seorang jurucakap Ibu Pejabat Polis Bukit Aman memberitahu tidak ada sebarang laporan polis diterima daripada kedua-dua pemimpin tersebut setakat hari ini.

Anwar dan Zahid yang menjadi tumpuan selepas tular klip audio baru-baru ini mengatakan sudah mengarahkan pegawai mereka untuk membuat laporan polis bagi mencari dalang disebalik penyebaran audio tersebut.

Sebelum ini, Agenda Daily melaporkan satu klip audio suara mirip Anwar dan Zahid sedang berbincang strategi politik selepas Perhimpunan Agung UMNO 2020 (PAU) baru-baru ini.

Perbualan kedua-dua pemimpin itu sangat mesra dengan saling bertukar pandangan berhubung ucapan perwakilan ketika perhimpunan baru-baru ini.

Ekoran penularan klip audio tersebut, Anwar dan Zahid berkata akan mengarahkan pegawai masing-masing untuk membuat laporan polis bagi mengesan dalang yang menyebarkannya.

BERITA BERKAIT
POPULAR