Orang sibuk agih bakul makanan, Zahid sibuk kutip SD dalam bakul

Selepas peruntukan RM300 ribu bantuan bakul makanan diberikan kepada semua Ahli Parlimen (MP) seluruh negara, aktiviti pengagihan bantuan berjalan dengan rancak tidak kira sebelah MP sebelah kerajaan atau pembangkang.

Semua sibuk bekerja keras bagi mencari rakyat yang kesusahan, tidak kira jenis fahaman politik atau warna bendera semua dibantu secara sama rata.

Banyak MP yang berkongsi atas platform media sosial kerja bantuan yang dijalankan, tahniah atas keprihatinan semua wakil rakyat yang bertungkus-lumus membantu rakyat yang sedang berdepan cabaran ketika pandemik Covid-19 ini.

Sememangnya, rakyat sedang berdepan tempoh mencabar dan kerajaan juga mengenepikan perbezaan apabila MP pembangkang juga diberikan peruntukan yang sama kali ini, ia sekurang-kurangnya dapat juga meringankan beban.

Bagaimanapun, tidak dinafikan ketika musim rakyat susah ini masih terdapat segelintir ahli politik yang lebih gemar bermain politik, tidak habis merancang strategi dan mencari sokongan untuk menjatuhkan kerajaan.

Semalam, Ketua Pemuda UMNO yang kalah pilihan raya umum lalu, Datuk Asraf Wajdi Dusuki merungut dan membebel peruntukan RM300 ribu tidak cukup, ia tidak pasti kawasan Parlimen yang sedang dibantunya ketika ini kerana bekas senator itu bukan wakil rakyat yang dipilih rakyat.

Untuk tidak berprasangka buruk, mungkin Asraf kini sibuk menjaga kawasan Parlimen PWTC memandangkan satu-satunya pilihan raya yang dimenanginya adalah pilihan raya parti UMNO lalu. Itu pun menang tipis, beza majoriti pun kecil.

Cita-citanya sangat jauh, ingin menjadi menteri atau timbalan menteri, bagaimanapun pengikut setia bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ini sekadar layak menjadi jurucakap rasmi kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sahaja.

Setiap kenyataan Zahid, ia pasti kemudiaan akan disusuli kenyataan Asraf yang menyokongnya, kemudiaan setiap kenyataan Najib pasti disusuli kenyataan Asraf, begitu lah kerja seorang Ketua Pemuda UMNO ini.

Terbaharu, perlumbaan mengutip SD masih berjalan, menurut laporan Utusan Malaysia baru-baru ini, Zahid sedang memanggil setiap MP UMNO untuk menandatangani surat menarik sokongan terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Hari ini, MP Jerantut Datuk Ahmad Nazlan Idris tampil membuat pengakuan secara terbuka menandatangani SD menyokong Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon Perdana Menteri yang baharu.

Kenyataan Nazlan tersebut membuktikan dakwaan sebelum ini oleh seorang pemimpin senior, Datuk Seri Nazri Aziz yang berkata Zahid nampaknya masih meneruskan agenda menyokong Anwar dengan mengumpulkan SD dikalangan MP UMNO.

Nazri juga yang sebelum ini menarik sokongannya terhadap PN juga mendakwa Zahid adalah perancang utama gerakan menjatuhkan kerajaan PN, namun baru-baru Ahli Parlimen Padang Rengas itu sudah menarik balik sokongannya.

Spekulasi semakin hangat diperkatakan selepas kenyataan Zahid menerusi Biro Politik UMNO yang memberikan tempoh 14 hari kepada kerajaan PN supaya membuka segera sidang Parlimen atau berdepan tindakan tegas.

Untuk rekod, tempoh 14 hari tersebut akan berakhir pada 7 Julai ini, jadi tidak hairan Zahid begitu aktif mengutip SD bagi merealisasikan cita-citanya untuk bersama Anwar yang difahamkan menawarkan jawatan Timbalan Perdana Menteri kepadanya.

Persoalannya kini, mampukah Zahid mendapatkan memenuhi bakul SD yang mencukupi untuk melawan 25 SD yang dikatakan sudah berjaya dikutip kumpulan satu lagi yang mahu melantik Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein sebagai jurucakap mereka.

BERITA BERKAIT
POPULAR