Orang Melayu akan tolak UMNO yang mahu jadi “dominan”

Sekiranya UMNO mengekalkan sikap mahu menjadi “dominan” kepada parti-parti kecil lain ia berkemungkinan akan memberi implikasi yang buruk mereka akan ditolak pengundi dikalangan kaum Melayu dalam pilihan raya umum (PRU) kelak.

Pergolakan dalaman UMNO dan perseteruan dengan parti kecil seperti Bersatu dan PAS yang mempunyai kelompok penyokong sama akan mengakibatkan parti tersebut dilihat sebagai tidak relevan kerana hanya pentingkan perebutan kuasa semata-mata, penganalisis politik dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr. Salawati Mat Basir.

“Sebenarnya orang Melayu sangat mengharapkan UMNO ini berubah kerana jasa mereka kepada orang Melayu dan negara tapi keangkuhan dan cita-cita untuk menjadi parti dominan menghakis sokongan orang Melayu sendiri.

“Perangai UMNO yang mahu mencari gaduh samaada dalaman atau luaran dengan parti lain tidak disukai orang Melayu,” kata Salawati kepada Agenda Daily.

Salawati memberikan contoh yang berlaku semasa Perhimpunan Agung UMNO 2020 (PAU) baru-baru ini yang jelas menunjukkan parti tersebut masih tidak berubah dengan sikap lama berpuak-puak dan pemimpin atasan dibarisi muka lama yang tidak lagi relevan.

“Lihat dalam PAU baru-baru ini, mereka tidak berubah dan masih berpuak-puak dan sudah lah mereka dibarisi mula lama yang tidak lagi laku.

“Orang muda menolak budaya politik dibawa UMNO ini dan mereka tidak melihat UMNO sebagai sebuah wadah yang segar seperti DAP, PKR atau Bersatu yang lebih muda barisan pimpinannya,” katanya lagi.

Semasa PAU lalu, pergolakan dalaman UMNO semakin terserlah apabila wujud perpecahan antara yang dikatakan Kluster Mahkamah dan Kluster Menteri.

Jelas Salawati lagi, pemimpin atasan UMNO yang terpalit dengan kes mahkamah berusaha keras untuk cuba mengekalkan status quo mereka namun perkara tersebut diperhatikan rakyat yang jelas akan menilai perkara tersebut sebelum untuk menyokong parti itu dalam pilihan raya nanti.

“Ego mereka besar, mahu kekal status quo… kumpulan pemimpin yang bergelut dengan kes mahkamah ini tidak sedar diri kerana sikap buruk mereka itu tidak disukai rakyat,” ujarnya lagi.

Sementara itu, seorang lagi penganalisis politik Prof Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani pula menyifatkan UMNO tidak sepatutnya mencetuskan pergolakan dalaman dengan mencabar Menteri dan Timbalan Menteri UMNO meletak jawatan.

“Tidak sepatutnya Menteri dan Timbalan Menteri UMNO ini meletak jawatan kerana jika mereka berbuat demikian maka akan ada orang lain pula yang ganti mereka.

“Dalam keadaan sekarang, jika mereka letak jawatan pun tidak jatuh kerajaan kerana kita dalam keadaan darurat… jika mereka meletak jawatan ia sebaliknya akan memberi kesan buruk kepada UMNO kerana rakyat akan marah,” kata beliau.

Semasa Perhimpunan Agung UMNO hujung minggu lalu, pimpinan parti itu dengan jelas menyatakan parti itu perlu berada dalam kedudukan dominan dalam kerajaan yang dibentuk selepas Pilihan Raya Umum Ke-15.

Hujung minggu lalu, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menempelak UMNO yang masih mengamalkan politik lama dengan nafsu besar untuk menjadi parti dominan semasa Perhimpunan Agung MIC.

Muhyiddin berkata peranan parti-parti kecil lain dalam era politik baharu ini tidak boleh diperkecilkan dan mereka juga perlu saling hormat-menghormati satu sama lain.

“Kerana itu, kita perlu mengamalkan budaya politik yang berasaskan kepada persefahaman, perundingan dan konsensus dalam mencari jalan terbaik untuk memelihara kestabilan politik, membela nasib rakyat dan memacu kemajuan negara.

“Dalam apa sahaja hala tuju politik yang diambil oleh parti politik, pertimbangan utamanya mestilah kepentingan rakyat dan negara, bukan kepentingan individu atau kelompok yang kecil,” ujarnya lagi.

POPULAR