
Calon Ketua Cabang PKR Gombak Farhash Wafa Salvador yang tewas kepada Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amiruddin Shari, mendakwa terdapat 'undi hilang' pada pemilihan PKR baru-baru ini.
Orang kanan dan bekas pembantu Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa agar parti menangguhkan Kongres PKR yang dijadualkan berlangsung hujung bulan ini ditangguhkan.
Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak yang kalah dalam pemilihan Ketua Cabang Gombak baru-baru ini mahu Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) menyelesaikan terlebih dahulu isu undian yang dibangkitkan termasuk di cabang yang ditandinginya semasa Pemilihan PKR 2022.
“Memandangkan kongres dijadualkan hujung bulan ini, JPP harus memandang serius isu ini dan disegerakan segala proses supaya tidak menjejaskan kongres.
“Ini soal fundamental yang mana keputusan pemilihan parti ini membawa kesan besar ke atas kongres. Jika tidak dapat diselesaikan sebelum kongres, maka seadilnya ia ditunda,” katanya dipetik laporan.
Menurut Farhash, PKR sebagai sebuah parti yang berpegang kepada keadilan juga perlu menegakkan kebenaran dikalangan ahlinya dan membuktikan ia sebagai sebuah parti berintegriti.
“JPP sendiri telah nyatakan mereka terima ratusan aduan dan bantahan. Ini soal ketelusan dan integriti. Kita sedang gesa ketelusan dan keadilan dipraktikkan oleh parti kita sendiri.
“Saya percaya PKR masih sebuah parti yang akan menegakkan keadilan dan perkara ini boleh dibetulkan melalui saluran parti,” katanya.
Untuk rekod, hampir 2,000 anggota PKR telah mengemukakan bantahan terhadap keputusan undian di cabang tersebut.
Farhash bagaimanapun belum berhasrat untuk membawa isu itu luar daripada saluran parti seperti dilakukan oleh pelakon dan pengarah, Datuk Afdlin Shauki yang kalah dalam pemilihan Ketua Cabang Setiawangsa.