Orang kanan Anwar bidas MUDA khianat persefahaman, letak calon di DUN Larkin

Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) dibidas orang kanan Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana mengkhianati persefahaman apabila bertindak meletak calon mereka di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Larkin dan mengakibatkan pertembungan dengan calon PKR pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor nanti.

Bekas Pengerusi PKR Perak, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak tidak berpuas hati dengan parti dipimpin Syed Saddiq Syed Abdul Rahman selepas mengumumkan calon mereka bertanding di kerusi DUN Larkin dan membidasnya berlagak seperti “abang besar” walhal jentera pun mereka tiada.

“Tindakan MUDA yang memutuskan untuk meletakkan calon di kerusi Larkin pada PRN Johor kali ini sudah menjejaskan kerjasama dan usaha terhadap muafakat penyatuan parti pembangkang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, media melaporkan MUDA dan PKR akan bertembung di DUN Larkin, selepas parti baharu itu mengumumkan Rasid Abu Bakar sebagai calonnya di kerusi tersebut.

Pada 14 Feb lalu, PKR mengumumkan akan bertanding di Larkin, dengan menamakan Dr Zamil Najwah Arbain sebagai calonnya.

Setakat ini, MUDA mengesahkan akan bertanding tujuh kerusi, dengan enam daripadanya diserahkan DAP dan Amanah menerusi perjanjian bersama antara pemimpin ketiga-tiga parti itu.

Sebelum ini, Farhash menggesa PKR bertanding di kerusi yang disasarkan MUDA dalam PRN Johor, jika ia terus “angkuh” serta “sombong”.

Minggu lalu, PKR Johor dilaporkan menganggap rundingan kerusi dengan MUDA bagi PRN Johor sudah selesai dan meminta parti baharu itu “move on” serta tidak membuat ugutan atau ancaman berkaitan rundingan agihan kerusi.

Terdahulu, PKR menawarkan tiga kerusi kepada MUDA dalam PRN Johor, tetapi ADUN Kota Anggerik, Najwan Halimi daripada PKR berkata, parti baharu itu hanya mahu bertanding di “kerusi selamat” yang mudah menang.

“Kami dah tawar tiga kerusi, tapi kalian angkuh. Kalian nak semua kerusi selamat macamlah kalian ada jentera di bawah,” kata Najwan.

Syed Saddiq pula berkata, rundingan dengan PKR tamat tanpa mencapai sebarang persefahaman.

BERITA BERKAIT
POPULAR