
Tan Sri Noh Omar dipanggil mengadap Lembaga Disiplin UMNO, Isnin depan.
Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata pelantikan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor Tan Sri Noh Omar sebagai menteri bertujuan membantu merampas semula Selangor daripada Pakatan Harapan (PH).
Menurutnya beliau pada mulanya ingin melantik Noh memegang portfolio Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Parlimen).
Bagaimanapun, katanya, Noh meminta beliau dilantik ke jawatan yang dekat di hati rakyat.
“Ketika saya mula menjadi Perdana Menteri, Noh tiada jawatan ketika itu dan saya fikir jika kita beri jawatan kepada pemimpin Selangor, ada harapan untuk kita rampas balik Selangor.
“Saya ingat nak bagi dia menteri undang-undang supaya dia lagi ke hadapan dalam Parlimen, namun dia minta diberi jawatan yang boleh jaga rakyat.
“Jadi, saya beri dia Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi,” katanya memetik BH ketika Perdana Menteri berucap pada Konvensyen BN Selangor di Pusat Konvensyen Setia City di Shah Alam, hari ini.
Ismail Sabri secara berseloroh juga meminta Noh menyalurkan bantuan bagi menggerakkan jentera Barisan Nasional (BN) di Selangor.
Katanya, bantuan ‘minyak’ itu boleh diberikan Noh menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) yang semakin hampir.
“Untuk Selangor, insya-Allah ‘minyak’… jangan bimbang.. tak pernah waktu pilihan raya (kecil) sebelum ini seperti di Sungai Kandis, Seri Setia dan Semenyih walau kita pembangkang ketika itu.
“Walaupun tak banyak minyak, kita ada juga minyak. Ini sudah jadi kerajaan, tentulah banyak minyak. Koman-koman (paling tidak pun) minyak boleh la dia (Noh) bagi,” katanya.