NGO cadang pemilih positif Covid-19 dibenarkan keluar buang undi

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu mencari pendekatan terbaik dan menyediakan kemudahan kepada individu yang positif Covid-19 untuk mereka keluar membuang undi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor nanti.

Gesaan itu dicadangkan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) yang meminta SPR agar meletak garis panduan prosedur operasi standard (SOP) supaya pengundi dalam kumpulan tersebut dibenarkan keluar mengundi nanti.

Tegas Jawatankuasa Pemandu BERSIH dalam kenyataannya, perkara itu adalah satu pelanggaran Perkara 119(1) Perlembagaan Persekutuan yang memberikan hak kepada pemilih untuk mengundi.

“SPR sebagai badan yang diberikan kuasa untuk menjalankan proses pilihan raya tidak sepatutnya menghalang mereka menjalankan tanggungjawab.

“Selain itu, pengundi berstatus individu yang disyaki (PUI) dan individu dalam pemantauan (PUS) juga masih perlu memohon kepada Pegawai Kesihatan Daerah (PKD) untuk keluar mengundi dan bergantung kepada penilaian PKD untuk membenarkan mengundi.

“Kebenaran mengundi atau tidak mengundi bukanlah kuasa PKD atau polis untuk menentukannya kerana Perlembagaan sudah pun memberikan hak kepada mereka,” katanya hari ini.

Justeru BERSIH menggesa supaya SPR dan Kementerian Kesihatan (KKM) supaya menjelaskan segera sama ada SOP itu akan menghalang pengundi positif Covid-19 dan PUI atau PUS untuk mengundi.

Katanya, BERSIH juga menggesa SPR dan KKM membenarkan mereka membuat pilihan untuk mengundi dan menyediakan kemudahan yang bersesuaian.

Semalam, dalam pengumuman SOP PRN Johor, SPR menetapkan pengundi berstatus PUI dan PUS perlu memohon kebenaran daripada PKD yang mengawasi Arahan Perintah Pengawasan dan Pemerhatian sekiranya mahu keluar mengundi.

Kebenaran itu tertakluk kepada penilaian risiko jangkitan oleh PKD berkenaan dan pengundi perlu mematuhi semua garis panduan yang ditetapkan oleh KKM.

BERITA BERKAIT
POPULAR