
Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin menyerahkan sumbangan kepada Kelab Permotoran Parlimen Pagoh di Kampung Sebasu Paya Redan, Pagoh, hari ini, 9 September 2022.
Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin bersedia berdepan dengan mana-mana individu yang berhasrat bertanding di Parlimen Pagoh yang diwakilinya sejak 1978 pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) akan datang.
Beliau berpandangan sesiapa sahaja boleh mempertaruhkan nasib di kerusi itu memandangkan Malaysia sebuah negara berdemokrasi.
Mengulas laporan mengenai bekas Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Razali Ibrahim yang disebut-sebut akan bertanding di kerusi Parlimen Pagoh pada PRU-15, Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu berkata beliau berlapang dada dan tidak mahu memandang rendah kepada mana-mana pihak.
“Tak apalah sesiapa nak masuk (bertanding), ini negara demokrasi dan saya tidak mahu memperkecilkan atau mengherdik, saya ‘okay’.
“Dia (Razali) ada kebijaksanaan dia untuk menimbang dan parti dia (UMNO) akan buat buat keputusan dan apa pun saya juga di sini kalau parti saya kata bertanding lagi, saya bertanding lah lagi,” katanya di Pagoh pada Jumaat.
Beliau berkata demikian kepada media selepas Program Ziarah Prihatin Komuniti Cina di Pekan Lenga, dekat Pagoh, hari ini.
Sebelum ini media melaporkan, Razali yang juga bekas Ahli Parlimen Muar akan berpindah kawasan dan bertanding di Parlimen Pagoh sekali gus bakal menyaksikan pertembungan antara dua figura politik itu.
Razali yang sebelum ini menang tiga penggal berturut-turut pada PRU-11, 12 dan 13 tewas pada PRU-14, ditangan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang menang dengan majoriti 6,953 atas tiket Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Dalam pada itu, mengulas kesediaan PN menghadapi PRU-15 yang dijangka dalam masa terdekat, Muhyiddin berkata pihaknya sudah bersedia berdepan pilihan raya itu meskipun beranggapan masih ada beberapa faktor yang perlu diambil kira.
“PN tidak ada masalah dan esok kalau Perdana Menteri umum bubar pun kita (parti) dah bersedia dan kekal menghadapinya.
“Tetapi penentuan ini adalah di pihak antara perdana menteri dengan barisan Kabinet dan dalam Kabinet ada wakil kita yang mana kuasanya dalam perlembagaan kalau nak bubar ia tak boleh dibuat bersendirian.
“Setakat hari ini saya tidak dengar apa-apa keputusan bubar, tak tahulah kalau esok atau lusa di Kabinet dia (Perdana Menteri) buat keputusan itu terserah kepada mereka,” katanya.