Nazri desak dedah status hasil siasatan klip audio Anwar-Zahid

Pihak berkuasa digesa mendedahkan hasil siasatan klip audio tular perbualan pakatan sulit antara Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada April lalu.

Gesaan tersebut dibuat Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Nazri Aziz yang mahu hasil siasatan tersebut diumumkan bagi mendapatkan kesahihan berhubung ketulenan klip tersebut selepas Zahid sebelum ini menafikan dirinya terlibat dalam perbualan tersebut.

“Saya nak supaya siasatan diteruskan bagi menentukan kesahihan klip, pihak berkuasa perlu mendedahkan hasil siasatan.

“Laporan (polis) sudah buat, dah ada (laporan) kenapa senyap? Sahih atau tak, ia membawa kepada masalah lain, penipuan dan lain-lain,” kata Nazri kepada Agenda Daily.

Jelas pemimpin senior UMNO itu, tindakan Zahid merancang pakatan tersebut sebenarnya menyalahi ketetapan parti yang sudah membuat pendirian menolak Anwar dan DAP semasa Perhimpunan Agung UMNO 2020 (PAU) pada Mac lalu.

“Daripada perbualan itu Presiden membelakangkan keputusan PAU yang baharu putuskan No Anwar, No DAP.

“Lagi parah kenyataan Presiden yang menafikan sekerasnya (klip audio) walhal rakyat Malaysia tahu itu dia (Zahid),” katanya lagi.

Pada April lalu, Agenda Daily melaporkan satu klip audio suara mirip Anwar dan Zahid sedang berbincang strategi politik semasa PAU tular di media sosial.

Perbualan antara mereka itu sangat mesra dengan kedua-dua mereka saling bertukar-tukar pandangan berhubung ucapan para perwakilan UMNO semasa PAU berlangsung.

Pada 27 April lalu, Anwar dipanggil ke Bukit Aman bagi mengambil keterangannya berhubung isu klip audio tersebut selepas terdapat laporan polis dibuat terhadapnya.

Keterangan Anwar diambil mengikut peruntukan Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan.

BERITA BERKAIT
POPULAR