
Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi.
PAS mengesahkan menerima permohonan daripada bekas pemimpin politik parti lain untuk menyertai parti Islam itu di Selangor tanpa mendedahkan identiti yang terlibat.
Kata Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi, permohonan itu akan dihantar kepada PAS Pusat dan bakal diputuskan oleh pucuk pimpinan.
Menurutnya, nama-nama individu terlibat akan diumumkan pada satu majlis dalam waktu terdekat ini.
“Sebenarnya mereka sudah membuat permohonan tetapi terima atau tidak belum tahu lagi,” katanya pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri PAS Negeri Selangor di Pejabat PAS Selangor Seksyen 13, Shah Alam, semalam, lapor Sinar Harian.
Ahmad Yunus bagaimanapun enggan mengulas lanjut tentang perkara tersebut.
“Kita tunggu pengumuman yang akan dibuat nanti selepas kita menerima arahan daripada PAS Pusat,” ujar beliau.
Majlis rumah terbuka itu turut dihadiri bekas pemimpin UMNO antaranya Presiden Pertubuhan Muafakat Nasional (MN), Tan Sri Annuar Musa; bekas Pengerusi UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar dan bekas Pengerusi UMNO Perlis merangkap Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim.