Nak tolong MUDA macam mana, jentera pun tiada: Napsiah

Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) meminta bantuan PKR bagi membantunya menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor namun mereka tiada jentera, bidas Napsiah Khamis.

Ketua Wanita PKR Johor itu terdahulu berkata menerima permintaan parti MUDA untuk membantu dan memberi tunjuk ajar bagi membuat persediaan dalam PRN Johor, namun sukar bagi Napsiah untuk membantu memandangkan parti tersebut tidak tahu menguruskan persiapan dalam pilihan raya.

“Macam mana nak ajar, jentera tak ada, bilik gerakan tak ada, apa pun tak ada,” kata Napsiah dalam satu hantaran di ruang status Facebooknya.

Napsiah juga mengeluh dengan karenah pemimpin MUDA yang sentiasa menganggunya dengan meminta banyak perkara, bagaimanapun pemimpin PKR itu memberi alasan terlalu sibuk dengan urusan lain dan sukar untuk membantu mereka.

“Adoi calon MUDA ni asyik mesej saja minta tunjuk ajar. […] Hakak busy kerja ini, tunggu free,” katanya lagi.

Terdahulu, Napsiah mengkritik parti komponen blok pembangkang, parti Amanah susulan langkah mereka menyerahkan kerusi Puteri Wangsa yang diperuntukkan Pakatan Harapan (PH) kepada parti MUDA.

Amanah dan DAP membuat keputusan memberikan enam kerusi kepada MUDA untuk bertanding, salah satunya kerusi Puteri Wangsa.

Dalam pada itu, Setiausaha Agung MUDA Amira Aisya Abd Aziz membuat pengakuan individu yang menghubungi Napsiah adalah dirinya dan menjelaskan ia dibuat sebagai tanda hormat kepada pemimpin lama yang berada dalam penta politik.

Amira turut meminta maaf andai tindakannya itu mengganggu Napsiah, namun berkata akan terus berhubung dengannya atas semangat setia kawan.

“Saya mesej Kak Napsiah atas kapasiti saya juga sebagai setiausaha agung Muda. Saya sentiasa hormat orang lama politik yang banyak bekerja.

“Atas semangat setia kawan dan hormat pada Kak Napsiah, saya akan terus berhubung. Maaf kalau ganggu masa. Harap kita dapat move forward together (bergerak maju bersama-sama),” katanya dalam ciapan di akaun Twitter.

BERITA BERKAIT
POPULAR