Nak bolot jawatan, UMNO sanggup buat PRN Johor dengan kos RM90 juta

Jawatan dan kuasa menjadi punca utama UMNO sanggup mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang melibatkan wang rakyat sejumlah RM90 juta demi semata-mata kepentingan mereka sendiri, kata Ahmad Fadhli Shaari.

Ketua Pemuda Perikatan Nasional (PN) itu berkata UMNO tidak memikirkan dengan kos RM90 juta yang terpaksa dibelanjakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk mengadakan PRN Johor, ia sepatutnya digunakan untuk membantu rakyat yang berdepan kesusahan hidup dan bukan untuk memuaskan hati pemimpin UMNO semata-mata.

“Mereka (UMNO) nak menang mutlak di Johor kerana apa, kerana jawatan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) mereka boleh bolot, ahli-ahli majlis mereka boleh ambil, jawatan-jawatan mereka boleh, mereka tak peduli jumlah peruntukan 90 juta terpaksa dihabiskan oleh kerajaan untuk mengadakan PRN Johor.

“RM90 juta ditanggung kos oleh SPR dan kerajaan Malaysia, 90 juta ini kalau diberikan kepada keluarga miskin, RM500 satu keluarga sebanyak 190 ribu keluarga boleh menerima RM500 ini,” kata beliau semasa pelancaran jentera Pemuda PN di Batu Pahat malam tadi.

Ketua Pemuda PN, Ahmad Fadhli Shaari.

Ahmad Fadhli juga membidas UMNO yang tidak peduli dengan nasib mangsa banjir yang melanda sebahagian tempat di Johor tetapi masih mementingkan kuasa politik semata-mata untuk memuaskan kepentingan diri sendiri.

“Mereka tak peduli walaupun banjir baharu sahaja melanda sebahagian tempat di Johor, ada yang baharu sahaja dilanda banjir, lukanya masih terluka, parutnya masih terasa tiba-tiba mereka adakan PRN Johor,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Ahmad Fadhli juga berkata sekiranya UMNO dan Barisan Nasional (BN) menang dengan selesa seperti yang berlaku di Melaka, berkemungkinan PRN di negeri lain seperti di Perak dan Sabah akan menyusul selepas ini.

“Kalaulah kita masih memberi kemenangan yang selesa kepada BN, tak mustahil negeri yang berikutnya adalah Perak dalam senarai.

“Selepas Perak, datang pula Sabah… Mungkin (berlaku) kerana mereka yakin kononnya sokongan rakyat berpihak kepada mereka,” katanya lagi.

Terdahulu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 12 Mac sebagai tarikh pengundian bagi PRN Johor manakala tarikh penamaan calon bagi pilihan raya itu ditetapkan pada 26 Februari dan pengundian awal pada 8 Mac.

BERITA BERKAIT
POPULAR