Najib merayu kerjasama PAS pada PRU15 selepas gagal di Melaka

Walaupun tidak berjaya meneruskan kerjasama dalam Muafakat Nasional (MN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, Pengerusi Lembaga Penasihat Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Najib Razak masih menaruh harapan kerjasama dengan PAS dapat diteruskan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) nanti.

Najib merayu sangat agar dapat meneruskan kerjasama dengan parti tersebut bagi menghadapi PRU-15 meskipun pelbagai kritikan negatif dilontar oleh pemimpin UMNO terhadap PAS selepas mereka memilih untuk masuk bertanding PRN Melaka menggunakan lambang Perikatan Nasional (PN).

“Saya berani katakan keputusan tersebut tidak melambangkan isi hati setiap anggota PAS. Saya anggap walaupun tidak jadi secara formal, tetapi ia boleh berlaku juga secara tidak langsung, maknanya orang PAS pun boleh sokong BN dan kita tak tutup pintu sama sekali.

“Mungkin di PRU15, mana tahu boleh jadi satu kenyataan nanti,” katanya dalam satu Program Gegau Melaka bertajuk PRN Melaka: Antara Mitos & Realiti Semasa malam tadi.

Sebelum PRN Melaka, UMNO meletak syarat seolah menggugut PAS supaya mereka menggunakan lambang sendiri dan bukan lambang PN sebagai satu bentuk persefahaman antara kedua-dua parti yang dimerterai dalam MN.

Bagaimanapun, PAS menolak syarat diletak UMNO apabila Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang membuat keputusan untuk masuk bertanding PRN Melaka atas lambang PN.

Untuk rekod, PAS bersama-sama Bersatu dan Gerakan antara pengasas kepada pembentukan PN yang kemudiaannya disertai beberapa parti komponen lain dari Sabah dan Sarawak.

PN mengumumkan semua calonnya yang akan bertanding bagi 28 kerusi DUN Melaka pada 20 November ini, ia sekaligus bakal menyaksikan pertandingan banyak penjuru.

Daripada 28 kerusi tersebut, Bersatu akan bertanding 15 kerusi, lapan dari PAS dan lima lagi dari Gerakan.

Mengulas lanjut, Najib berkata keputusan BN bergerak solo bukan pilihan kerana terpaksa berdepan rakan parti yang berada dalam MN, iaitu PAS.

“Bergerak solo bukan pilihan kita. Kita bersedia bekerjasama dengan PAS di bawah MN.

“Kita harapkan sangat MN jadi ‘template’ untuk pilihan raya bermula di Melaka… Namun kita tidak ada pilihan,” katanya lagi.

BERITA BERKAIT
POPULAR